Asnaf, Anak Yatim, dan Ibu Tunggal Disantuni Sempena Ramadan

anak yatim

TAWAU – Keberkatan bulan Ramadan terus dirasai apabila golongan asnaf, anak yatim, ibu tunggal, dan warga emas disantuni dalam satu majlis penyampaian sumbangan di Masjid Ubudiyah, Jalan Damai.

Majlis tahunan anjuran Jawatankuasa Masjid Ubudiyah ini menyaksikan seramai 152 penerima menerima bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas. Program ini telah dijalankan sejak tahun 2022 dan terus menjadi agenda utama masjid dalam membantu masyarakat setempat yang memerlukan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang hadir menyampaikan sumbangan turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas usaha murni tersebut.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Masjid Ubudiyah kerana sejak tahun 2022, program ini terus dianjurkan bagi menyantuni mereka yang kurang bernasib baik di bulan Ramadan. Saya percaya sumbangan ini dapat menceriakan mereka menjelang Syawal yang bakal tiba,” katanya.

Beliau turut memuji Masjid Ubudiyah sebagai antara masjid yang aktif dalam menganjurkan program-program keagamaan serta kebajikan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas. Beliau seterusnya berharap usaha ini menjadi contoh kepada masjid lain.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Selain itu, Datuk Nizam juga menekankan kepentingan mempersiapkan generasi muda dengan nilai-nilai keagamaan. Hal ini supaya generasi ini akan menjadi masyarakat yang berdisiplin dan menyokong pembangunan negara.

“Saya amat gembira melihat masjid-masjid di kawasan kita aktif dalam program keagamaan kerana ini adalah asas dalam melahirkan generasi yang beriman dan beramal. Ini penting dalam membentuk masyarakat yang menyokong agenda pembangunan negara,” ujarnya.

Menurut beliau, jelajah Ramadan ke masjid-masjid di kawasan DUN Apas turut diadakan setiap tahun. Jelajah ini untuk menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai, peralatan, atau bantuan lain yang dapat dimanfaatkan oleh pihak masjid.

Beliau juga berkongsi bahawa kebanyakan masjid di DUN Apas telah dibina baharu. Manakala beberapa masjid lain yang masih uzur sedang dalam perancangan untuk dinaik taraf demi keselesaan jemaah.

Majlis ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima sumbangan, tetapi juga mengeratkan hubungan antara masyarakat dan kepimpinan setempat. Inisiatif sebegini diharap dapat diteruskan di masa akan datang demi kesejahteraan masyarakat.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *