TAWAU – Setiap kali musim perayaan, isu harga tiket penerbangan dari Semenanjung ke Sabah kembali menjadi topik perbincangan hangat. Tahun ini, masalah yang sama berulang apabila ramai rakyat Sabah yang ingin pulang beraya berdepan dengan harga tiket penerbangan yang melambung tinggi. Keadaan ini menyebabkan ramai pelajar dan perantau yang bekerja di Semenanjung terpaksa mencari alternatif lain atau malah tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Menurut Datuk Andi Suryady Bandy, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah merangkap Ahli Parlimen Kalabakan, beliau sendiri telah meneliti harga tiket di laman web syarikat penerbangan tambang murah dan mendapati harga paling rendah untuk satu hala ke Sabah adalah sekitar RM600 lebih. Jumlah ini dianggap membebankan bagi kebanyakan rakyat, terutamanya pelajar dan pekerja berpendapatan rendah.

“Musim perayaan ini kita sudah dengar beberapa keluhan daripada penduduk mengenai harga tiket yang agak keterlaluan. Saya telah memeriksa harga tiket dan mendapati bahawa penerbangan satu hala ke Tawau atau Sandakan mencecah lebih RM600, bahkan ada yang lebih mahal. Ini memberi tekanan kepada rakyat yang ingin pulang ke kampung halaman,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk campur tangan dalam isu ini dengan mempertimbangkan beberapa langkah intervensi. Salah satu cadangan yang beliau kemukakan adalah dengan menambah jumlah penerbangan ke Sabah. Hal ini adalah untuk mengurangkan tekanan permintaan yang tinggi, sekali gus membantu menstabilkan harga tiket.
“Saya difahamkan bahawa penerbangan ke Tawau dan Sandakan untuk musim perayaan ini sudah penuh, menyebabkan harganya meningkat secara mendadak. Oleh itu, kita mohon pihak kerajaan untuk menambah lagi jumlah penerbangan ke kawasan ini supaya lebih ramai rakyat dapat pulang dengan kos yang lebih berpatutan,” tambahnya.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Pertimbang Harga Siling Tiket Penerbangan
Beliau turut menyuarakan harapan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan harga siling tiket penerbangan. Hal ini untuk mengelakkan kenaikan harga yang tidak terkawal setiap kali musim perayaan. Langkah ini penting supaya semua golongan, terutamanya yang kurang berkemampuan, tidak terpinggir daripada peluang untuk bersama keluarga ketika perayaan.
Beliau ditemui dalam Program Ibrah Ramadan Tawau FM, yang bertujuan menyantuni golongan memerlukan dan menyemarakkan aktiviti Ramadan. Program yang berlangsung di Masjid Al Mukaramah, Tanjung Batu Keramat ini melibatkan pelbagai aktiviti seperti tadarus Al-Quran, agihan bubur lambuk, dan penyampaian sumbangan kepada 100 asnaf terpilih.
Program ini mendapat kerjasama daripada 16 rakan strategik dan dijangka menjadi acara tahunan yang berterusan. Datuk Andi turut menyeru lebih banyak syarikat swasta serta individu yang berkemampuan untuk turut serta dalam membantu golongan memerlukan.

“Saya menyeru lebih banyak pihak, sama ada syarikat swasta atau individu yang berkelebihan, untuk tampil menghulurkan sumbangan. Program seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima, tetapi juga memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat,” katanya.
Dengan adanya perhatian yang lebih serius terhadap isu harga tiket penerbangan serta usaha berterusan dalam membantu golongan yang memerlukan. Diharapkan lebih ramai rakyat Sabah dapat menyambut Aidilfitri tahun ini bersama keluarga tanpa bebanan kewangan yang berat.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.