Dewan Impian Merotai Bakal Dibina, Tapak Strategik Telah Dikenal Pasti

TAWAU – Kawasan sesuai untuk pembinaan Dewan Serbaguna Merotai Baharu telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa tempatan, selaras dengan pengumuman peruntukan RM2 juta oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada 16 Februari lalu.

dewan

Cadangan Lokasi Dewan Serbaguna

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Brig Jen (B) Tan Sri Datuk Liew Yun Fah JP, berkata beberapa lokasi dewan telah dipertimbangkan, namun tapak yang terletak di atas kawasan padang seluas lebih 1.2 hektar telah dikenal pasti sebagai lokasi paling sesuai.

“Tapak ini mengambil kira pelbagai keperluan seperti pembinaan dewan, kemudahan parkir kenderaan dan padang. Kedudukannya yang tinggi dan bebas banjir menjadikan ia sangat ideal untuk pembangunan jangka panjang,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Akademi Bola Sepak Tawaukini

Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah

Tapak cadangan itu juga terletak berhampiran Kijang Point, dalam pelan pembangunan Pekan Merotai Baharu. Cadangan ini sekaligus menjadikannya lokasi strategik untuk aktiviti kemasyarakatan, sosial, ekonomi dan kebudayaan.

“Kerajaan negeri mahu dewan ini menjadi nadi kepada aktiviti masyarakat Merotai. Jika diuruskan dengan baik, ia mampu menjadi pusat tumpuan awam dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, khususnya untuk anak-anak muda Merotai,” ujar beliau.

Dalam majlis pengumuman pada Februari lalu, Ketua Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.9 juta bagi pemasangan lampu solar sepanjang jalan dari persimpangan Jambatan Putih hingga ke Kampung Sungai Udin. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, terutama di laluan utama Merotai-Kalabakan.

Selain itu, turut diumumkan ialah pewartaan dua perkampungan baharu iaitu Kampung Melati Burut dan Kampung Iban sebagai perkampungan sah. Hal ini sekaligus memperkukuh pembangunan komuniti di kawasan Merotai.

dewan

Menurut Liew, kesemua inisiatif ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Terutama dalam memastikan kawasan seperti Merotai turut menikmati arus pembangunan yang seimbang dan inklusif, walaupun berada di kawasan pembangkang.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak meminggirkan mana-mana kawasan dalam pelaksanaan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya. Merotai turut diberikan perhatian, sejajar dengan komitmen untuk membangunkan seluruh Sabah secara menyeluruh,” katanya.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Platform Tawaukini kami di Facebook, Instagram, Tiktok dan Youtube.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *