Cubaan 8 PATI Menyusup Masuk Ke Tawau, Ditahan.



Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) berasal dari negara jiran Indonesia melakukan cubaan untuk menyusup masuk ke negeri ini. Namun pasukan keselamatan telah menggagalkan percubaan tersebut. PATI yang ditangkap dikatakan ingin kembali ke negeri ini untuk kembali bekerja setelah pulang bercuti hari raya di negara asal mereka. 


Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad, berkata kesemua PATI berkenaan yang menaiki sebuah bot laju di kesan mendarat di kawasan penempatan atas air di Kampung Titingan, Jam 4.15 petang. 
Beliau berkata, kesemua PATI itu kemudiannya dilihat menaiki teksi sebelum dibawa keluar dari kawasan pendaratan terbabit dan menuju ke pusat bandar. 

“Susulan itu, Tim Quick Reaction Force (QRF) mengekori teksi terbabit sehingga ke Jalan Chen Fook sebelum pemandunya bertindak melarikan diri sebaik menurunkan kesemua PATI terbabit. 

“Kesemua PATI terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 40 tahun bersama seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditahan untuk tindakan lanjut” katanya. 

Hasil siasatan lanjut mendapati kesemua mereka memiliki paspot dan permit kerja yang sah namun tanpa cop pengesahan kebenaran untuk masuk ke Negeri Sabah. 

Kesemua mereka yang berasal dari Pulau Sebatik, Indonesia itu memaklumkan tujuan masuk ke Sabah kerana mahu kembali ke tempat kerja selepas bercuti melawat keluarga sempena Hari Raya. 

“Kesemua PATI terbabit kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (3) Akta 1959/63.”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *