Jururawat Islam yang pertama
Menelusuri sejarah Islam, jururawat Islam yang pertama ditemui pada zaman Rasulullah SAW apabila seorang Tokoh Muslimah bernama Rufaidah Binti Saad dikenalpasti antara Muslimah yang selalu kehadapan dalam menghulurkan bantuan rawatan kepada pihak tentera yang mengalami kecederaan di medan tempur.
Rufaidah yang lahir pada 570M dan dikatakan wafat pada 632M diiktiraf sebagai tokoh jururawat Islam paling terkenal dan sentiasa memberikan bantuan perawatan buat tentera di medan perang dan hakikat itu didedahkan oleh seorang ilmuwan Islam Kontemporari iaitu Prof Dr Omar Hasan Kasule ketika membentangkan kertas kerjanya di Persidangan Antarabangsa Kejururawatan Ketiga yang dilangsungkan di Brunei Darussalam pada 1998. Beliau merumuskan dapatan penyelidikannya bahawa Rufaidah adalah jururawat profesional pertama dalam sejarah Islam.
Anak Kelahiran Dari Kaum Ansar
Diteliti daripada sisi biografinya memaparkan bahawa Rufaidah adalah anak kelahiran dari kaum Ansar yang tinggal di Madinah dan termasuk dalam golongan awal yang menerima Islam. Ayahnya seorang doktor. Jadi, tidak hairan apabila minat dan bakat dalam bidang perawatan pesakit itu tumpah dan menyelinap dalam jiwa Rufaidah.
Apabila kita mengkaji perjalanan hidup yang penuh sumbangan kemanusiaan sebagaimana dicurahkan oleh seorang Muslimah agung itu jelas menunjukkan bahawa bidang kejururawatan ternyata suatu bidang kerjaya yang dipelopori oleh umat biarpun tidak didendang oleh dunia sebagai pelopor ulung, namun secara hakikatnya Islam sudahpun memiliki catatan sejarah yang tiada siapa pun mampu memadamnya.
Menjadi Tulang Belakang Untuk Memberikan Perkhidmatan Rawatan
Perang Badar yang diikuti seterusnya Perang Uhud. Begitu juga ketika tercetusnya Perang Khandak dan Perang Khaibar memahat sejarah tersendiri dalam bidang kejururawatan Islam yang mana kaum Muslimah selain membantu barisan hadapan di medan tempur menentang musuh Allah, mereka juga menjadi tulang belakang untuk memberikan perkhidmatan rawatan dan memulihkan kecederaan yang dialami oleh tentera Muslim. Ia adalah sumbangtan besar yang seharusnya kita julang setingginya atas setiap keringat yang sudah mereka hulurkan.
Nama Agung Yang Tidak Didendangkan Oleh Dunia
Namun, seperti biasa keunggulannya dalam bidang kejururawatan dan perubatan itu juga tidak ‘didendangkan’ oleh masyarakat dunia. Lebih menyedihkan tidak kurang dalam kalangan masyarakat Islam sendiri pun kurang mengetahui mengenai dirinya.
Itu dari segi sejarah dan pensejarahan kejururawatan dunia baik peringkat global mahupun dalam dunia Islam sejak zaman Nabi SAW. Seperkara yang sangat perlu kita sedari dan sentiasa menghargainya tidak lain adalah betapa mulia dan tingginya sumbangan bakti seseorang jururawat kepada masyarakat.
Masyarakat Berterima Kasih Kepada Perkhidmatan Kejururawatan
Masyarakat di peringkat apa sekalipun sangat terhutang budi dengan perkhidmatan kejururawatan yang selama ini bekerja siang malam tanpa menghitung waktu. Demi amanah yang digalas, segala masalah peribadi diketepi semata-mata untuk melihat pesakit yang dirawatnya kembali berwajah ceria sebagai petanda mula sembuh seperti sediakala. Mungkin, tiada yang lebih menggembirakan hati seseorang jururawat melebihi tatkala melihat pesakit yang dirawatnya kembali sihat dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa
Seseorang jururawat seperti juga seorang doktor, khidmat dan sumbangan bakti mereka amat diperlukan oleh masyarakat. Mereka ‘pejuang kemanusiaan’ yang berjihad di jalan Allah dengan menyalurkan apa yang terkudrat demi mewujudkan kehidupan yang sihat sejahtera.
Terima kasih tidak terhingga atas sumbangan bakti kalian, wahai jururawat dan kami seluruh warga Malaysia mengucapkan, ‘Selamat Hari Jururawat Sedunia.
Sumber : Harian Metro