Kenali LIMA parti politik lokal yang ada di Sabah

Bagi mereka yang baru saja mengikuti perkembangan politik negara, salah satu perkara yang merungsingkan adalah mengetahui sejarah parti-parti politik di Sabah dan Sarawak. Kalau kita bercakap pasal politik Malaysia; selalunya kita cuma dengar parti-parti politik dari Barisan Nasional, Pakatan Harapan, dan Perikatan Nasional. 

Kali ini kami akan bawakan beberapa pengenalan ringkas parti-parti politik di Sabah. Kami tak akan sebut parti-parti politik yang dah famous, tapi kami akan kenalkan anda dengan parti-parti lokal di Sabah. 

1. USNO, sebuah parti yang pernah menjadi kerajaan negeri Sabah

Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu parti yang diasaskan oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun, Ketua Menteri ketiga Sabah. Parti ini berjaya memerintah selepas memenangi pilihan raya negeri 1967. USNO kekal berkuasa sehingga 1975 di bawah kepimpinan Tun Mustapha, dan sehingga 1976 di bawah Mohamed Said Bin Keruak.

Sebelum pembentukan Malaysia, USNO mainkan peranan penting dalam kerjasama dengan UPKO (United Pasokmomogun Kadazandusun Organisation/Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu) yang dipimpin oleh Tun Fuad Stephens, dan dalam Persekutuan Tanah Melayu, dalam mendapat kemerdekaan daripada Great Britain.

Pada tahun 1975, setiausaha agung USNO Harris Salleh tinggalkan parti itu dan bergabung dengan UPKO untuk bentuk sebuah parti baru yang dinamakan Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA). Parti baru ini berjaya mengalahkan USNO pada pilihan raya negeri 1976 untuk membentuk kerajaan sehingga 1985. 

Selepas kekalahan itu, USNO seringkali meneruskan untuk menyertai pilihan raya negeri 1981, 1985, 1986, dan 1990, memenangi beberapa buah kerusi, tetapi tidak pernah cukup untuk membentuk kerajaan semula.

2. Parti Gagasan Rakyat Sabah, parti baru di Sabah 

Parti Gagasan Rakyat Sabah (GAGASAN) adalah parti yang dibentuk dan didaftarkan pada 28 Ogos 2013 sebagai sebuah parti pelbagai kaum dengan matlamat untuk memperlihatkan sudut pandang dan keinginan anak Sabah dalam kerajaan. Ia mula aktif pada 2016.

Pada Mac 2020, GAGASAN telah bersama-sama tiga parti politik Sabah yang lain telah membentuk persefahaman bagi membantuk gabungan parti politik Sabah iaitu Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Kerjasama Anak Negeri Sabah (Anak Negeri) dan sebuah parti yang belum berdaftar, Parti Hak Sabah. 

Keempat-empat parti pada mulanya bersepakat untuk membuat kerjasama dengan menggabungkan keempat-empat parti dalam satu parti iaitu GAGASAN, dengan Anifah Aman sebagai Presiden.

Namun, perancangan penggabungan parti pembangkang ini gagal selepas GAGASAN dan Anak Negeri menarik diri untuk meneruskan agenda parti masing-masing selepas individu yang sepatutnya menjadi Presiden gabungan, Anifah Aman menyertai PCS dan terpilih menjadi Presiden PCS pada Julai 2020 sebelum pilihan raya negeri mengejut.

3. UPKO, sebuah parti politik yang kaya dengan sejarah

Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu Sabah ditubuhkan semula daripada Pertubuhan Bersatu Pasok-Momogun Kadazan (1964-1967) dengan perubahan nama tetapi mengekalkan singkatan yang sama iaitu UPKO pada 30 Oktober 1999 untuk membela hak-hak dan memperjuangkan pembangunan kaum Kadazandusun Murut (KDM) serta melawan diskriminasi terhadap bumiputera bukan Melayu.

Pada asalnya, UPKO merupakan Pertubuhan Bersatu Pasok-Momogun Kadazan; sebuah parti yang ditubuhkan pada Mei 1964 hasil gabungan daripada Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (United Kadazan National Organisation – UNKO, asalnya ditubuhkan oleh Ketua Menteri Sabah Pertama, Dato’ Donald Stephans pada Ogos 1961), dan Pertubuhan Pasok Momogun Bersatu (United Pasok Momogun Organisation – PASOK MOMOGUN, ditubuhkan pada Januari 1962 oleh Orang Kaya Kaya Datuk G. S. Sundang); dua buah parti politik yang masing-masing memperjuangkan nasib dan masa depan bangsa KDM.

Selepas pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, kedua-dua parti politik KDM itu terus berjuang dengan agenda masing-masing untuk bertanding dalam Pilihan Raya Majlis-majlis Daerah 1964 yang merupakan pilihan raya kerajaan tempatan pada tahun 1964.

Setelah melihat kesan buruk dalam keputusan pilihan raya majlis daerah itu, akibat perpecahan yang disebabkan oleh kewujudan dua buah parti politik tersebut, para pemimpin UNKO dan PASOK MOMOGUN berusaha untuk bergabung pada akhir tahun 1964. 

UPKO ditubuhkan pada tahun 1964 untuk menghadapi pilihan raya negeri Sabah yang pertama pada April 1967. Walau bagaimanapun, UPKO ditewaskan dalam pilihan raya tersebut, dan di atas nama perpaduan bumiputera yang lebih luas, UPKO dibubarkan pada Disember dalam tahun yang sama. Akibatnya, kaum KDM tiada pilihan selain daripada menyertai pelbagai parti politik yang lain di Sabah.

Kejatuhan kerajaan PBS pada tahun 1994 telah mencetuskan penubuhan Parti Demokratik Sabah (PDS), sebuah parti politik yang berasaskan semangat nasionalisme Kadazandusun Murut. Penubuhan parti ini adalah hasil satu persetujuan antara hampir kesemua Wakil-wakil Rakyat PBS pada 14 Mac 1994.

Di bawah pimpinan Presiden Tan Sri Bernard Giluk Dompok, dan berikutan pelantikan beliau kepada Kabinet Persekutuan pada tahun 1994, PDS berjaya mengerakkan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan bahasa Kadazandusun sebagai sebuah bahasa yang diajar di sekolah-sekolah kerajaan. 

Mercu kejayaan PDS ialah pelantikan Tan Sri Bernard Dompok sebagai Ketua Menteri Sabah yang ke-11 pada tahun 1998 dalam sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah.

Bagaimanapun, PDS masih gagal untuk menyatukan seluruh kaum KDM dalam sebuah parti politik. Ini terbukti apabila para pengundi KDM tidak mengundi Tan Sri Bernard Dompok dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1999. Akibatnya, perkhidmatan Bernard Dompok sebagai Ketua Menteri Sabah terpaksa berhenti.

Pembubaran PDS dan Penubuhan Semula UPKO (1999)

Keputusan untuk menghidupkan semula UPKO berlaku pada 28 Julai 1999. Mesyuarat Majlis Tertinggi PDS bersetuju dengan sebulat suara untuk mengorbankan PDS bagi menghidupkan semula Pertubuhan Bersatu Pasok-Momogun Kadazan (1964-1967) dengan perubahan nama sedikit sebagai Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu tetapi mengekalkan singkatan yang sama iaitu UPKO. Dalam Kongres PDS yang ke-5 pada 8 Ogos 1999, para perwakilan juga bersetuju dengan keputusan itu. Bendera PDS kemudian diturunkan dan pada masa yang sama, bendera UPKO dinaikkan.

4. Parti Bersatu Sabah, bukan Bersatu dari bekas ahli ‘Umno’ 

Parti Bersatu Sabah ditubuhkan oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada tahun 1985 di Sabah. Pada Tahun 2018, Parti ini telah bersatu dengan Parti Tempatan STAR Sabah dan SAPP di dalam satu gabungan tempatan yang dikenali sebagai Gabungan Bersatu Sabah (GBS). 

Pada 12 September 2020, Parti Bersatu Sabah telah bersetuju menyertai Gabungan politik tempatan pembaharuan dari Gabungan Bersatu Sabah iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bertujuan menyatupadukan pilihan-pilihan rakyat di semua daerah dan bertujuan untuk menyatupadukan semua bangsa-bangsa yang ada di Sabah. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah berjaya ditubuhkan di Sabah dan PBS menjadi salah satu penyumbang kepada penubuhan Gabungan tempatan tersebut.

Parti ini pernah menguasai Dewan Undangan Negeri negeri Sabah pada tahun 1985 sehingga 1994. Mereka turut menguasai 14 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1990. Pada 12 September 2020, Parti Politik Tempatan ini telah bergabung dengan “Gabungan Rakyat Sabah (GRS)” iaitu Gabungan yang mempunyai ideologi melindungi Hak Orang Asal Sabah dan Ketempatan di Sabah serta menyatupadukan rakyat-rakyat di Sabah. PBS dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memenangi 7 kerusi ADUN Sabah pada PRN Sabah 2020 (27 September 2020).

5. Parti Kebangsaan Sabah, dengan matlamatnya yang tersendiri

Parti Kebangsaan Sabah atau PKS diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan pada tahun 2013. Pelancaran parti ini telah dilaksanakan di Ballroom Hotel Siang Garden, Sandakan pada 18 April 2015 di mana ianya telah dilancarkan dan dirasmikan oleh Presidennya iaitu Thomas Anggan. 

Parti ini telah menggariskan dasar perjuangannya di mana matlamat perjuangannya adalah untuk kepentingan masyarakat bumiputera Sabah dan anak-anak Sabah. 

Parti ini telah mengadakan konsesus dan kerjasama dengan lain-lain parti tempatan Sabah dan Sarawak serta wakil parti dari Semenanjung Malaysia untuk membentuk satu pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Gabungan Rakyat Saksama (SAKSAMA). Walau bagaimanapun, SAKSAMA sehingga kini masih dalam proses pembentukan.

Parti ini juga merupakan sebuah parti berbilang kaum yang tidak mengira pegangan dan anutan agama, dan suku kaum. Parti ini berlandasakan komsep parti milik semua kaum dan perjuangan untuk semua kaum bumiputera di Negeri Di Bawah Bayu, Sabah.

Setakat ini, parti ini telah mempunyai 24 bahagian di seluruh Sabah dan keanggotan dalam 30 ribu orang. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *