Kes Diabetes Di Kalangan Orang Muda Meningkat

 

Peningkatan Kes Diabetes Di Kalangan Orang Muda


Ramai dikalangan kita yang tidak peka dengan risiko mendapat penyakit diabetes kerana beranggapan bahawa penyakit ini hanya akan dihidapi oleh golongan tua ataupun berlebihan berat badan. 

Namun, mengikut statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), peningkatan kes diabetes di kalangan orang muda meningkat sebanyak hampir 17 peratus pada tahun 2020. 

Menurut “Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (National Health And Morbidity Survey 2019), seorang daripada lima individu dewasa atau kira-kira 3.9 juta individu berumur lapan belas tahun ke atas di Malaysia menghidapi diabetes.

Kurang Hormon Insulin Faktor Diabetes


Antara faktor utama penyakit diabetes adalah apabila paras gula dalam darah tinggi disebabkan oleh kekurangan hormon insulin. 
Fungsi utama insulin adalah menurunkan gula dalam darah dengan cara membuka pintu pada sel-sel untuk membenarkan gula masuk ke dalam sel secara terkawal. 
Sebagai contoh, jika anda sering mengambil makanan tinggi kandungan gula, ia boleh membebankan sel di dalam pankreas yang boleh melemahkan sel-sel dalam jangan masa panjang. 

Sel-sel ini kemudian akan mati seiring dengan peningkatan usia dan menyebabkan kadar penghasilan insulin sangat rendah. 

Jika tidak dicegah dari awal, paras gula akan terus meningkat dan berpotensi mengakibatkan kerosakan pada jantung, mata, buah pinggang dan kaki. 

Amalkan Gaya Hidup Sihat Bagi Cegah Diabetes


Bagi mencegah penyakit diabetes, masyarakat perlu mengamalkan gaya hidup sihat agar tidak menghidapi masalah kesihatan yang serius kelak. 

Apa yang paling penting adalah pengambilan makanan yang kaya dengan nutrien, rendah lemak dan kalori serta makan dalam kuantiti sederhana pada waktu yang sama setiap hari. 

Selain itu, salah satu cara yang efektif adalah mengurangkan berat badan dengan diet yang seimbang dan kerap melakukan senaman. 

Apabila berat semakin kurang, maka sel-sel badan akan menjadi lebih peka kepada insulin seterusnya tahap gula yang lebih stabil. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *