Sabah terkenal dengan pelbagai budaya, tempat menarik, dan makanan laut yang murah-murah. Disebalik keunikan negeri ini, ada banyak masalah yang berlaku di Sabah. Salah satu masalah yang diketahui oleh hampir semua rakyat Sabah adalah masalah ‘stateless’. Masalah ini agak selalu buat pening kepala, sebabnya – sesiapa sahaja yang bercakap tentangnya, akan dilihat seperti orang yang ‘pro’ pendatang asing.
Stateless adalah golongan tanpa negara, dan berbeza dari PTI
Okay, seperti ramai yang sudah tahu; Stateless bermaksud manusia tanpa kewarganegaraan. Dalam erti kata yang lain, seseorang yang tak memiliki kewarganegaraan di mana-mana negara dan tak ada dokumen pengenalan rasmi yang membolehkan mereka diiktiraf sebagai warganegara.
Berbeza dengan pendatang tanpa izin (PATI); kumpulan ini merupakan manusia yang memiliki kewarganegaraan, dan masuk ke Malaysia tanpa melalui proses undang-undang yang betul.
Ramai yang keliru tentang benda ni. Menyamakan PATI dan warga stateless adalah satu kesilapan.
Kewujudan stateless ini telah berlaku sudah lama. Antara puncanya ialah terdapat negara lain berhijrah ke Malaysia, dan sudah tentu proses untuk mendapatkan apa-apa jenis ‘dokumentasi’ di Malaysia tidaklah semudah yang disangka.
Masalah terbesar yang kami lihat berlaku apabila lahirnya generasi kedua penduduk stateless. Anak-anak mereka lahir di Malaysia, dan menghadapi masalah untuk memohon kewarganegaraan – memandangkan dari segi kuatkuasa undang-undang, mereka tidak layak. Mereka harus memohon dengan kaedah lain.
Menurut UNHCR, ada 50 ribu kanak-kanak stateless dicatatkan di Malaysia, dan kebanyakannya berada di Sabah. Jumlah kanak-kanak stateless di negara ini secara keseluruhannya telah meningkat pada tahun 2014 iaitu kepada 102,656 orang.
Tiada bantuan asas kehidupan sebagai manusia
Apabila tak ada kad pengenalan diri dan tak diiktiraf sebagai warganegara Malaysia, sudah tentu mereka tak boleh menikmati kemudahan seperti rakyat Malaysia; terutamanya dari segi pendidikan, kesihatan, dan bantuan asas.
Tanpa dokumentasi, mereka sukar mendapatkan pekerjaan, pendidikan asas, dan bantuan sosial. Mereka juga sentiasa hidup dalam ketakutan, kerana takut ditangkap pihak berkuasa.
Lebih menyedihkan, anak-kanak ‘stateless’ ini tak dapat hidup seperti kanak-kanak yang lain. Mereka tak dapat bersekolah dan harus bekerja. Bekerja pun diberi gaji rendah. Dalam undang-undang Ordinan Buruh, kanak-kanak di bawah umur 17 tahun sebenarnya tak dibenarkan sesekali mana-mana sektor untuk mengambil mereka bekerja.
Kanak-kanak stateless ini tak ada hak dalam melindungi diri mereka kerana tak mempunyai dokumen diri secara sah dan menyebabkan berlakunya pengeksploitasian tenaga mereka tanpa diberikan pendidikan seperti kanak-kanak tempatan lain.
Apa yang paling penting adalah dokumentasi asas
Isu ini sebenarnya telah dibangkitkan berkali-kali namun belum ada lagi jalan penyelesaiannya. Dalam satu artikel yang telah diterbitkan oleh Utusan Borneo, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata;
“Anak-anak ini membesar, kalau kita nak hantar balik ke mana mereka nak dihantar, ke Filipina pun tidak tahu mana kampung, ke Indonesia tidak tahu mana suku sakat mereka, jadi saya harap kalau ada penyelesaian, tidak boleh biarkan isu ini berlarutan,” katanya.
Sumber:
https://newnaratif.com/ms/muda-dan-tidak-bernegara-di-sabah/
Bacaan Lanjut: https://www.malaysiakini.com/news/368264