Bukit Di Batu Payung Bekas Lokasi Persembunyian Tentera Jepun?

Kampung Batu Payung terkenal dengan pantainya yang begitu luas. Ia terletak kira-kira 18 kilometer dari pusat bandar Tawau. Tetapi, tahukah anda kampung yang berstatus ‘native land’ ini, juga sering menjadi tumpuan pendaki dari dalam ataupun luar pada setiap kali hujung minggu atau cuti umum terutamanya. 

Tumpuan Para Pendaki 

Terdapat beberapa deretan bukit di sini seperti Bukit Cinta, Kiyawan, Heroin, King Kong dan Batu Hitam yang menjadikan kampung ini cukup terkenal dalam kalangan pendaki tempatan.

Bukit Cinta

Ada yang pernah mendaki di sini? 

Tiada sumber yang menjelaskan apa makna ataupun sejarah disebalik nama “Bukit Cinta” ini.  Tetapi, berdasarkan pengalaman beberapa orang, pemandangan di atas bukit ini memang sangat cantik lebih-lebih lagi ia berhadapan dengan laut.

Bukit ini mempunyai  ketinggian lebih kurang 276 meter dari aras laut dan terletak kira-kira 25 minit perjalanan dari Bandar utama Tawau. Laluannya agak mencabar dengan kehadiran longgokan batu, akar kayu bonsai yang besar dan pokok hutan. 

Jangan risau, segala keletihan akan hilang ketikak tiba di puncak. Dari puncak anda boleh menikmati pemandangan kawasan sekitar termasuk Kampung Membelua dan Apas Parit.

Batu Hitam dan dan Bukit Heroin

Dari Bukit Cinta anda juga boleh meneruskan penerokaan ke Batu Hitam dan dan Bukit Heroin yang mengambil masa kira-kira 40 minit perjalanan.

Tidak banyak beza dengan Bukit Cinta, Batu Hitam dan Heroin juga akan menyajikan pemandangan Laut Sulu. Namun, sepanjang 40 minit perjalanan, kita disajikan dengan pokok hutan yang besar dan longgokan batu unik yang telah mengambil masa puluhan atau ratusan tahun terbentuk.

Bukit King Kong dan Kiyawan

Selain itu, anda juga boleh meneroka Bukit King Kong dan Kiyawan yang terletak bersebelahan Bukit Heroin. 

Bukit Kiyawan juga dikenali dengan nama Bukit Jamur yang membawa maksud buluh kuning yang mana menunjukkan kewujudan tumbuhan berkenaan di puncak bukit. 

Di bukit ini juga, kita akan melalui di bawah susunan batu raksasa dipenuhi juntaian akar kayu dan lumut. Disamping itu, jika bernasib baik, anda akan merasai sendiri pengalaman mendaki di celah air terjun yang terbentuk setiap kali hujan lebat berlaku.

Bagaimanapun, tarikan utama di Bukit Kiyawan ini adalah sejarahnya kerana dipercayai menjadi lokasi persembunyian tentera Jepun suatu ketika dulu. Malah, masih terdapat serpihan seperti pasu dipercayai bahan tinggalan sejarah di sini. 

——

Menarikkan? Sekali sekala boleh lah cuba mendaki pula untuk merasai pengalaman mendaki selain ke kawasan pantainya. Apapun yang penting, sentiasa amalkan kebersihan dan jaga keselamatan diri ketika beraktiviti. 


Sumber: https://www.hmetro.com.my/santai/2021/04/697726/syurga-pendakian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *