TAWAU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang rosak di tepi jalan Kampung Inderasabah, dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Hafsham Miezairim Ahag, 27, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Anak Umbuas, berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati sebuah MPV jenis PROTON Exora mengalami kerosakan dan berhenti di tepi jalan berkenaan.
Katanya, ketika itu pemilik MPV terbabit tidak berada di lokasi kejadian dan dipercayai pergi mendapatkan bantuan di kawasan berhampiran.
“Pada masa sama, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Balung menuju ke rumahnya di Kampung Inderasabah melanggar belakang MPV berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa terjatuh di permukaan jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum di bawa ke Hospital Tawau menggunakan ambulans,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian juga mendapati keadaan jalan berturap dengan jalan satu lorong, dua hala serta gelap berikutan ketiadaan lampu jalan.
“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.