SANDAKAN: Tiga beranak rentung dalam kebakaran di Kampung Seng Kee, Tanah Merah, jam 6.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata mangsa yang rentung adalah seorang ibu berumur 20 tahun bersama anak perempuan, 3, dan anak lelaki berumur setahun.
Tiga beranak rentung dikenali sebagai Afikah Sulaiman dan dua anaknya, Nurul Katrishah Aiman dan Mohd Sharil Aiman.
“Mereka dipercayai terperangkap dan gagal menyelamatkan diri di rumah mereka sewaktu kebakaran berlaku,” katanya.
Beliau berkata mayat ketiga mangsa ini telah ditemui di tempat kejadian.
“Mayat tiga beranak itu kemudiannya dihantar ke Hospital Duchess Of Kent untuk dibedah siasat,” katanya ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Azhar berkata seorang lelaki mengalami kecederaan melecur berumur 50 tahun.
Katanya, mangsa melecur telah dihantar ke hospital sama dan masih menerima rawatan lanjut
“Dalam kebakaran itu, Jabatan Bomba Dan Penyelamat menerima panggilan kebakaran itu jam 6.34 pagi.
“Kebakaran dapat dikawal oleh pihak bomba jam 7.33 pagi,” katanya.
Beliau berkata kebakaran dianggarkan melibatkan 30 buah rumah.
Azhar berkata pihaknya belum mengenalpasti punca dan anggaran kerugian dalam kebakaran ini.
Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.
Sumber: Utusan Borneo