Siapa tidak tahu Bukit Panchang, salah satu lokasi tumpuan bagi para hikers di Daerah Tawau. Bukit Panchang adalah antara bukit yang terkenal di Tawau, selain Bukit Galas di Table, Bukit TV, Bukit Akar dan Bukit Kukusan.
KEUNIKAN SEBENAR BUKIT PANCHANG
Bukit Kinabutan atau lebih popular dengan nama Bukit Panchang ini terletak di Batu 6 Jalan Apas Tawau, 11km dari Bandar Tawau dan mengambil masa kira-kira 15 ke 20 minit perjalanan.
Bagi kami sendiri, salah satu instrumen yang melengkapkan ekspedisi hiking Bukit Panchang ini adalah pemandangan luas Daerah Tawau yang dapat diamati setibanya di puncak bukit. Sudah tentu menjadikannya sebagai peluang terbaik bagi para pendaki untuk melihat pemandangan Bandar Tawau dari ketinggian 1800 meter.
BUKIT PANCHANG DICEMARI SAMPAH SARAP
Namun, foto terbaru yang ditangkap oleh salah seorang kru TawauKini mendapati bahawa Bukit Panchang sedang dipenuhi dengan sampah sarap yang dicemari oleh para pengunjung bukit itu sendiri. Mengecewakan. Anda boleh lihat foto-foto terkini sekitar Bukit Panchang yang kami kongsikan di bawah.
Masyarakat Tawau masih memiliki tahap kesedaran yang kurang akan kepentingan alam sekitar di sekeliling kita. Hal ini mungkin disebabkan kurangnya kefahaman mengenai hubung kait dalam sistem ekologi dan kesihatan.
Pendidikan berkaitan alam sekitar yang selama ini diterapkan dalam kalangan pelajar kita, sama ada secara formal mahupun tidak formal dilihat belum mencapai matlamatnya bagi menuntut kepada perubahan dan pendekatan baharu.