Bandar yang hilang ?! ~ Silimpopon dikatakan memiliki khazanah alam bernilai tinggi.


Menyelusuri keheningan jalan yang diapit oleh deretan kelapa sawit seperti tempat lain di Tawau membawa kita ke sebuah kawasan luar bandar yang pernah menjadi salah satu pusat ekonomi utama di Sabah. Kota ini terletak di kawasan Kalabakan, mengambil masa satu jam perjalanan dari bandar Tawau. 


Peta Lokasi Silimpopon (Sumber: Google Maps)

SILIMPOPON adalah sebuah bandar yang pernah wujud di Tawau, Sabah pada sekitar tahun 1904 hingga 1932 dan merupakan satu sejarah bernilai perlu dikenang. Tetapi kini tidak ramai masyarakat Sabah khususnya generasi muda yang tahu kewujudan bandar tersebut.

Dokumen Saham Cowie Harbour Coal Company Limited

Sumber tenaga arang batu terbesar Asia Tenggara 

Bandar ini merupakan pengeluar sumber tenaga arang batu terbesar di Asia Tenggara yang dikendalikan oleh Cowie Harbour Coal Company yang berpusat di London. Pada tahun 1905 hingga 1937, bukan sahaja penduduk tempatan malah kuli-kuli dari China dan seluruh rantau ini, termasuk Jepun, menuju ke kawasan pedalaman di kawasan timur laut Sabah yang luas ini untuk mencari nafkah. Silimpopon ketika itu yang berada di bawah pemerintahan Syarikat Borneo Utara British (SBUB) telah membangun sebagai sebuah bandar yang paling kaya dan moden hasil daripada kekayaan arang batu yang terdapat di bandar tersebut.

Salah Sebuah Kilang Arang Batu Silimpopon
 

Mempunyai kemudahan yang lengkap 

Jumlah penduduk di Silimpopon mencecah sekitar 3000 orang, melebihi jumlah penduduk yang ada di Tawau pada ketika itu. Silimpopon juga mempunyai landasan kereta api, yang menggunakan lokomotif Andrew Barclay untuk mengangkut hasil arang batu dan juga sebagai pengangkutan utama penduduk di sana. Token berbentuk syiling digunakan di bandar Silimpopon ini dan digelar “Silimpopon Token”  membuktikan kemajuan bandar ini. Selain itu, terdapat juga kemudahan lain seperti pelbagai jenis kedai, hospital dan polis, serta bengkel.

Lokomotif Andrew Barclay

Token Silimpopon


Bandar yang ditinggalkan 

Namun kegemilangan Silimpopon tidak lama apabila kualiti dan kuantiti arang batu didapati semakin berkurangan pada penghujung tahun 1920-an. Akhirnya, bandar Silimpopon terkubur pada tahun 1932 dan menjadi bandar yang hilang di bumi Sabah sehingga kini. Kira-kira sudah lebih dari 90 tahun yang lalu bandar ini ditinggalkan selepas beroperasi selama lebih dari 25 tahun.


Aktiviti Perlombongan Di Silimpopon

Gerabak Arang Batu Boleh Dilihat Berhampiran Kilang


Komuniti Yang Ada Di Silimpopon 

Silimpopon kini dikelilingi tanaman sawit dan semak samun. Struktur binaannya ada yang masih boleh dilihat sehingga sekarang. Terdapat juga tinggalan landasan kereta api,sisa tinggalan arang batu dan terowong lombong yang di boleh ditemui. Nama Silimpopon juga semakin hilang dari lipatan sejarah. 
Sebagai anak kelahiran Sabah marilah kita bersama-sama cakna tentang sejarah tempat kelahiran kita. Bagi sesiapa yang mempunyai gambar kenangan/gambar terbaru ataupun cerita/pengalaman menarik mengenai bandar Silimpopon ini boleh lampirkan di ruangan komen! 

Sumber:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *