Kassim Kamidin: Tokoh Politik Awal di Bumi Tawau

 
Salam semua warga Tawaukini. Macam mana dengan artikel Asal Usul Nasi Lalap sebelum ini? Sudah baca? Kalau belum baca, nanti singgah sebentar di laman ini oke? 
Hari ini, kami di Tawaukini akan membawa semua pembaca untuk mengetahui salah seorang tokoh politik di Tawau yang pernah menabur jasa kepada masyarakat di Tawau. Artikel kita pada kali ini adalah berkenaan dengan Kassim Kamidin. Siapa dia? Mahu tahu selanjutnya? Teruskan pembacaan oke?

Siapa Kassim Kamidin?

Nama Kassim Kamidin ataupun Allahyarham Datuk Seri Panglima Dr. Haji Mohd Kassim Kamidin merupakan seorang tokoh politik yang berasal daripada Tawau, Sabah. Beliau dilahirkan pada tahun 1922 iaitu kira-kira 99 tahun yang lalu. Beliau merupakan salah seorang yang bergiat aktif didalam dunia politik di Tawau. Malahan, penglibatan beliau dimulakan sebelum daripada kemerdekaan lagi. 
Diawal kehidupan beliau, kehidupan yang dilalui adalah sangat payah dengan ketiadaan ayah disisi yang telah pergi meninggalkan beliau di usia yang muda pada ketika itu. Beliau ditemani oleh ibu beliau. Pada usia remaja, beliau pernah bekerja dengan seorang individu berasal dari Jepun iaitu Mr. Kubota. Beliau bekerja sebagai seorang “Orderly Office” iaitu individu yang bertanggungjawab dengan kebersihan pejabat dan penghantaran surat. Dengan pekerjaan yang dilakukan, beliau mendapat gaji sebanyak RM6 sebulan. 

Datuk Seri Panglima Dr. Haji Mohd Kassim Kamidin
Dengan pendapatan sebanyak RM6 sebulan itu, beliau menggunakan RM1 untuk mendapatkan pelajaran. Beliau mendapatkan pelajaran daripada beberapa individu yang bernama Mr. Federick dan juga Mr. Primus. Disiang harinya beliau bekerja, kemudian pada malam harinya pula beliau belajar secara persendirian bersama dengan guru-guru beliau.
Memulakan kerjaya sebagai pembantu kerani di NBT ataupun North Borneo Timber yang pernah beroperasi di Tawau pada suatu ketika dahulu. Beliau bekerja sebagai pembantu kerani pada tahun 1950. Kemudiannya, dinaikkan pangkat kepada Kerani Akaun dan beliau pun dipindahkan ke Sebatik. 

Logo NTB pada suatu ketika dahulu

Dalam pada masa yang sama, beliau mendapatkan pendidikan melalui “Postal Study” di London. Kaedah “postal Study” adalah mendapatkan pembelajaran menggunakan pos ataupun surat. Dengan pendidikan tersebut beliau telah mendapatkan sijil pembelajaran. 
Beliau telah berkahwin dengan Datin Seri Hajjah Zaimah Abdul Karim. Beliau dikurniakan dua orang anak iaitu Mohd Kamil dan Kalthum. Kedua-dua anak beliau telah dihantar ke luar negara iaitu Melbourne, Australia bagi mendapatkan pendidikan. Setelah itu, beliau telah berkahwin sekali lagi dan dikurniakan dua orang anak iaitu Razak dan Naimah, turut dihantar keluar negara bagi mendapatkan pendidikan.

Penglibatan di Dalam Dunia Politik

Di Sebatik, beliau telah menyertai cawangan USNO pada tahun 1962. Kemudian, pada tahun 1963, atas sokongan daripada majikan beliau yang menggalakan untuk melibatkan diri dalam politik, beliau telah dihantar semula untuk bertugas ke Tawau dan dilantik menjadi Pengurus Jualan. 
Pada pilihanraya pertama Dewan Undangan Negeri Sabah iatu pada 8 April 1967,  di Daerah Tawau mempertandingkan dua DUN, iaitu Dun N.31 Merotai dan Dun N.32 Balung. DSP Kassim Kamidin yang pada ketika itu bertanding atas tiket USNO dibawah Parti Perikatan menang tanpa bertanding. Beliau bertanding di kawasan Dun N.31 Merotai. Beliau telah menjadi wakil rakyat dikawasan tersebut untuk dua penggal berturut-turut.

Datuk Kassim Kamidin (Kiri)

 

Sumbangan Kepada Masyarakat

Beliau telah banyak memberikan sumbangan kepada masyarakat di Tawau. Berikut adalah jawatan yang pernah disandang dan sumbangan beliau kepada masyarakat di Tawau : 
1. Naib Ketua Persatuan Islam (PIT) 
2. Ketua Bahagian USIA Tawau 
3. Ketua Persatuan Muslim Wallace Bay (PERMUS) 
4. Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Islamiah Tawau
5. Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Raya, Tawau
6. Pengasas Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau
7. Pengasas Masjid Al Aman Tanjung Batu
8. Timbalan Presiden USNO
9. Pengerusi Tetap USNO
10. Pembantu Menteri Komunikasi dan Kerja
Beliau bersama-sama dengan beberapa lagi tokoh politik di Tawau dalam memperjuangkan kepentingan orang Melayu serta menjaga kedaulatan dan kemuliaan agama melalui Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau. Antara individu yang turut berkongsi misi yang sama iaitu Datuk Seri Haji Abu Bakar Titingan yang merupakan pengasas bersama untuk PKMT.
Selain itu juga, bagi meningkatkan taraf pendidikan Islam di Tawau, usaha beliau mewujudkan Sekolah Agama iaitu Sekolah Islamiah Tawau amatlah signifikan dan bermanfaat. Kewujudan sekolah ini pada tahun 1970 dapat meningkatkan lagi taraf pendidikan Islam dikalangan masyarakat Tawau. 

Sekolah Islamiah Tawau di awal pembukaan

Pada 20 Ogos 2006, pada pukul 7.35 pagi, beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir. Beliau meninggal dunia pada umur 84 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Utara iaitu berhadapan dengan Sekolah Islamiah Tawau. 

Tanah Perkuburan Jalan Kuhara Tawau

Begitulah kisah seorang Tokoh Politik dari Tawau yang telah banyak berjasa kepada masyarakat di Tawau. Diharapkan penulisan artikel kali ini oleh Tawaukini dapat membuatkan para pembaca memiliki pengetahuan yang luas tentang jasa dan pengorbanan tokoh politik di Tawau. Sebelum menutup artikel kali ini, untuk yang beragama Islam, marilah kita sama-sama sedekahkan Surah Al Fatihah untuk Allahyarham Datuk Seri Panglima Dr. Haji Mohd Kassim Kamidin. Bagi agama lain, boleh berdoa mengikut agama dan kepercayaan masing-masing. Terima kasih atas pembacaan artikel pada kali ini di Tawaukini. 

Sumber : 
1. https://www.youtube.com/watch?v=rOewERcRriU&t=612s
2. https://ms.wikipedia.org/wiki/Persatuan_Kebangsaan_Melayu_Tawau
3. http://pkmtawau.blogspot.com/2017/09/
4. https://www.thestar.com.my/news/nation/2006/08/21/former-sabah-assistant-minister-dies
5.http://studentsrepo.um.edu.my/5380/2/POLITIK_ISLAM_DI_SABAH__ISI_BAB.doc_MAC_2013.pdf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *