Nasi Lalap Kekal Masyhur Sebagai Menu ‘Sempurna’, Ketahui Sejarahnya


“Aduh, lapar la. Jom makan guys ! Tapi mau makan apa ya? Makan Nasi Lalap la yukk”

Oke semua, hari ini di Tawaukini, kita akan berkongsi kepada anda semua tentang satu makanan yang popular di Tawau. Makanan ini sangat ringkas dan membuka selera kepada semua peringkat usia.

Makanan yang kita akan kongsikan pada hari ini adalah, Nasi Lalap. Kita selalu menjamah makan ini, tapi pernahkah kita terfikir berkenaan dengan darimana asal usul makanan ini dan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkataan lalap tu.

Kalau anda semua ingin tahu berkenaan dengan Nasi Lalap, teruskan membaca oke.

Sejarah Nasi Lalap

Sejarah mencatatkan menu lalapan ini telah bermula sejak abad ke-10 Masihi. Penemuan ini tercatat didalam sebuah penemuan Prasasti Taji iaitu kepingan tembaga dikawasan Ponorogo (Jawa Timur). Hal ini dinyatakan oleh Fadly Rahmany yang merupakan sejarawan Fakulti Ilmu Budaya, Universitas Padjadjaran yang juga merupakan seorang penggiat serta penganalisis kajian makanan. Menurut beliau, dalam penemuan Prasasti Taji pada tahun 900 Masihi itu telah disebutkan sejenis nama sajian makanan yang dinamakan sebagai “Kuluban Sunda” yang didefinisikan sebagai lalap atau lalapan.

Kedudukan Daerah Sunda, Indonesia

Lalap dikenali sebagai sekumpulan sayuran dan daun-daun iaitu daun ubi kayu, daun kepayas ataupun betik, bijian dan lain-lain lagi. Sekumpulan sayuran dan daunan ini digelar sebagai lalap. Masyarakat di Sunda (Jawa Barat) sememangnya telah menjadi kebiasaan menikmati lalapan atau sayuran mentah sebagai pelengkap kepada nasi.

Makan Daging Bukan Budaya Masyarakat Sunda

Budaya di Sunda ketika itu tidak membudayakan pemakanan yang sarat dengan daging. Pemakanan daging adalah diluar daripada norma kehidupan masyarakat Sunda ketika itu. Perbezaan iklim juga menjadi salah satu faktor pemakanan daging tidak menjadi kebiasaan bagi masyarakat Sunda. Hal ini kerana daging yang diperoleh daripada Sapi atau Lembu perlu diternak di kawasan yang kering dan jumlah turunan hujan rendah. Perkara ini tidak berlaku di Sunda ketika itu.

Oleh itu, pemakanan yang menjadi kebiasaan dikalangan masyarakat Sunda adalah sayur-sayuran. Dengan Keadaan geografi yang bergunung-ganang dan pedalaman membolehkan kawasan Sunda ditumbuhi dengan pelbagai sayuran dan tanaman.


Gambaran suasana di Sunda pada abad ke-10


Didalam satu penemuan yang lain, ditemui penjelasan berkenaan dengan citarasa bagi masakan lalap ini. Penjelasan ini ditemukan di dalam naskah Sanghyang Siksa Kandang Karesian. Didalam naskah tersebut, digambarkan menu ini mempunyai rasa seperti yang berikut:

– Lawana (masin)
– Kaduka (pedas)
– Tritka (pahit)
– Amba (masam)
– Kasaya (gurih)
– Madura (manis)

Cebisan Naskah Sanghyang Siksa Kandang Karesian

Rasa yang digambarkan menunjukkan citarasa yang boleh disifatkan sebagai “terlalu Sunda” dan tidak menampilkan rasa yang sarat dengan daging. Terdapat beberapa lagi makanan yang disebutkan didalam penemuan yang lain seperti pecel, rurujak (Rojak), wajik dan lain-lain lagi.

Lalap Vs Ulam

Jika di Malaysia, menu lalap ini boleh dikatakan hampir sama dengan hidangan ulam yang begitu dekat dengan masyarakat Malaysia. Ulam juga sekumpulan daun-daun dan sayuran mentah yang dimakan bersama nasi dan sambal. Lalap juga dihidangkan bersama nasi dan ayam ataupun ikan goreng. Setiap masyarakat pastinya mempunyai makanan tradisi yang tersendiri. Namun, apabila berada dirumpun yang sama, pastinya juadah mempunyai rasa yang lebih kurang. Hal ini kerana, pertukaran dan perkongsian menu dinusantara berlaku disebabkan penghijrahan dikalangan masyarakat.

Nasi Lalap Tawau

Di Tawau, Menu Nasi Lalap ini biasanya dihidangkan bersama nasi, sup, ayam ataupun ikan goreng. Nasi Lalap untuk versi Tawau ini biasanya dihidangkan dengan kubis dan kacang panjang. Nasi Lalap adalah gelaran yang popular di Tawau. Sebut sahaja nasi lalap, pastinya memberikan gambaran yang menggiurkan.

Makanan nasi lalap ini mula popular di Tawau, Sabah bermula sejak 10 tahun yang lepas. Dijual pada harga sekitar RM3 ke RM5.

Makanan ini dihidangkan dengan nasi, ayam goreng tepung ataupun ikan goreng kemudian ada sayur-sayuran dan yang paling penting adalah sambal.


Hidangan Nasi Lalap di Tawau..Ouhh…sedak na heyy


Bukan Sekadar Makanan

Menu lalap ini dapat kita klasifikasikan sebagai makanan sihat. Hal ini kerana, kandungannya  memberikan nutrisi yang baik kepada pemakan. Hidangan yang disediakan seperti daun-daun dan sayuran yang mengandungi vitamin, mineral dan fiber serta dapat mengurangkan kadar kolestrol. Tambahan pula, menu ini dihidangkan dengan ayam ataupun ikan yang membekalkan protein.

Tetapi, dengan variasi dan kreativiti masyarakat dalam menghasilkan menu baru lalap ini perlulah diambil kira. Pertambahan lauk-pauk seperti ayam goreng, ikan goreng, sotong goreng dan udang goreng didalam menu lalap ini memberikan kemudaratan jika diambil secara berlebihan dan tidak terkawal. Oleh itu, makan dengan waspada, demi kesihatan terjaga. Gitu.

Terima kasih sudi membaca artikel yang dihasilkan oleh Tawaukini kali ini. Jumpa lagi di artikel yang seterusnya.

Rujukan:
1. https://en.wikipedia.org/wiki/Lalab
2. https://www.beritasatu.com/archive/245385/menguak-fakta-menu-lalapan-sunda-lewat-prasasti-taji
3. https://www.dream.co.id/culinary/terungkap-asal-mula-menu-lalapan-150127t.html
4. https://id.wikipedia.org/wiki/Prasasti_Taji
5. https://metrum.co.id/orang-sunda-dan-lalapan/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *