Rakyat Sabah di Semenanjung boleh balik sepanjang PKP

KOTA KINABALU: Warga Sabah yang berada di Semenanjung masih dibenarkan untuk merentas negeri jika mahu pulang ke negeri ini ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun dalam satu sidang media semalam berkata, mereka hanya perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini.

Katanya, SOP yang sama turut diguna pakai bagi rakyat Sabah yang perlu ke Semenanjung atas urusan kerja.

“Setakat ini, tiada larangan dikenakan untuk mereka yang mahu pulang ke Sabah, begitu juga mereka yang ingin ke Semenanjung atas urusan kerja, juga boleh berbuat demikian.


Rujuk: Cara Mohon & Download Borang Permit Rentas Negeri & Daerah

“Syaratnya, mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan sebelum ini iaitu menjalani ujian saringan tiga hari sebelum bertolak dan mendapatkan kebenaran polis untuk merentas negeri,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan negeri menerima aduan daripada rakyat Sabah yang ingin pulang dari Semenanjung tetapi terhalang disebabkan PKP.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berkata, beliau juga ada menerima pertanyaan yang sama daripada wakil rakyat dari Sabah yang kebetulan berada di Semenanjung.

“Mereka menghubungi saya sama ada masih boleh balik atau tidak kerana PKP dikuatkuasakan. Saya beritahu mereka tiada masalah, mereka boleh balik,” katanya.

Mengenai jemaah Kabinet Sabah yang dijangkiti Covid-19, beliau berkata, setakat ini hanya seorang menteri dan dua pembantu menteri disahkan positif dan menjalani rawatan serta kuarantin.

“Setakat ini menteri hanya seorang iaitu Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan, manakala pembantu menteri pula ialah Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik serta Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Hendrus Anding.

“Menteri dan pembantu menteri yang lain semua sihat. Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor juga ada menyentuh perkara ini ketika mesyuarat Kabinet negeri siang tadi. Beliau mengingatkan supaya jemaah Kabinet mematuhi SOP bagi mengelak dijangkiti,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Masidi berkata, mesyuarat Kabinet Sabah hari ini turut membincangkan usaha membantu rakyat yang terjejas akibat pelaksanaan PKP di Sabah, terutama golongan B40.

Katanya, perkara itu akan diumumkan Ketua Menteri apabila tiba masanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *