Apa yang dikongsi pada artikel kali ini merupakan sebuah peristiwa yang pernah terjadi di Bumi Peladang ini pada suatu ketika dahulu. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1953 iaitu 10 tahun sebelum Sabah dan Sarawak mendapat kemerdekaan dan menyertai pembentukan Malaysia. Peristiwa yang dikongsikan pada hari ini adalah kejadian Daerah Tawau yang pernah terbakar suatu ketika dahulu dan hampir musnah secara keseluruhannya.
Kronologi Kebakaran
Satu kenyataan akhbar memaklumkan “Bandar Tawau yang terletak di Borneo Utara hampir musnah setelah kejadiaan kebakaran besar yang berlaku”. Akhbar tersebut merupakan cebisan daripada berita yang diterbitkan di Akhbar The Straits Times Singapura.
Petikan berita kebakaran yang dilaporkan
Tawau yang merupakan daerah ketiga terbesar di Borneo ketika itu menjadi perhatian apabila berlakunya kebakaran tersebut. Selain menjadi daerah ketiga terbesar, Tawau juga merupakan pusat perdagangan penting kepada British North Borneo.
Keadaan Bandar Tawau ketika kejadian
Kejadian yang berlaku bermula pada pukul 3.30 petang itu memberikan satu peristiwa yang mengejutkan kepada warga Tawau. Kejadian tersebut berlaku pada 7 Mac 1953 di Jalan Dunlop. Kejadian dikatakan bermula daripada sebuah perusahaan Hap Seng ketika itu. Asap yang berkepul-kepul itu dapat dilihat sehingga di Jalan Apas. Orang ramai membantu untuk memadamkan api kebakaran namun dengan keadaan api yang merebak begitu cepat sekali telah memusnahkan rumah kedai di kawasan tersebut.
Faktor Berlakunya Kejadian
Kejadian berlaku disebabkan beberapa orang kanak-kanak yang cuba untuk menghidupkan kayu mancis dan rokok. Dengan keadaan rumah kedai yang diperbuat daripada bahan-bahan kayu dan atap Daun Nipah menjadi faktor api merebak dengan cepat.
Keadaan semasa kebakaran di Tawau
Keadaan tersebut ditambah lagi dengan musim kemarau yang melanda Daerah Tawau ketika itu. Api merebak dengan begitu cepat, ditambah dengan faktor lokasi kawasan Tawau yang terletak ditepi laut dan keadaan yang berangin mengakibatkan keadaan menjadi lebih teruk.
Kesan Kebakaran di Tawau 1953
Berikutan peristiwa kebakaran yang melanda di Daerah Tawau pada waktu tersebut, 170 rumah kedai musnah dijilat api termasuk dengan pejabat kerajaan seperti Balai Polis dan Pejabat Pos. Selain itu, dua bank juga turut musnah iaitu Hong Kong dan Shanghai Bank. Dalam tempoh 15 saat, sebuah demi sebuah rumah kedai musnah dijilat api.
Dengan keadaan yang serba serbi kekurangan setelah rumah kedai yang merupakan tempat tinggal dan tempat untuk berniaga hilang dengan sekelip mata, terdapat pelbagai bantuan diberikan oleh pelbagai pihak bagi membantu memulihkan semula pembangunan dan ekonomi masyarakat di Tawau pada ketika itu. Bantuan turut diberikan oleh pihak kerajaan British pada ketika itu yang berkuasa di daerah Tawau serta dibantu oleh pemimpin-pemimpin tempatan.
Penempatan sementara yang diwujudkan
Kedai-kedai sementara diwujudkan di Batu Satu Setengah Jalan Kuhara bagi membantu masyarakat meneruskan kelangsungan hidup setelah peristiwa hitam berlaku. Setelah itu, Pihak Kerajaan Britisih dan Pemimpin Masyarakat Tempatan membangun serta menaiktaraf reka bentuk serta bahan binaan bangunan untuk membangunkan bangunan bagi menggantikan rumah kedai sebelum ini. Bangunan yang didirikan adalah bangunan yang boleh digunakan dalam tempoh masa yang panjang. Sebahagian daripada bangunan yang didirikan masih kekal sehingga hari ini di Bandar Tawau.
Rumah Kedai yang telah dinaiktaraf
Dalam pada masa yang sama, Kerajaan British ketika itu telah menghantar sepasukan tentera iaitu British RAF 205 Squadron dengan menggunakan Penerbangan Sunderland ke Daerah Tawau bagi menghantar bantuan makanan dan bantuan bekalan perubatan.
Demikianlah artikel pada kali ini yang membawa kisah hitam yang pernah berlaku di Daerah Tawau pada suatu ketika dahulu. Semoga dengan artikel yang dihasilkan pada kali ini dapat menambah sedikit sebanyak pengetahuan kita semua berkenaan Tawau Bumi Peladang. Nantikan artikel seterusnya di laman ini.
Sumber :
1. http://ysffahmad.blogspot.com/2012/10/tawau-historical-value-v.html
2.https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitstimes19530312-1.2.103.3?ST=1&AT=search&k=tawau%20on%20fire&QT=tawau,on,fire&oref=article
3. https://www.dailyexpress.com.my/read/3943/surprises-from-tawau-/