SK Bandar: Sejarah Sekolah Melayu Pertama di Daerah Tawau


Sekolah Terawal Di Tawau

Sekolah merupakan institusi pembelajaran untuk masyarakat. Kewujudan sekolah adalah diibaratkan sebagai gudang untuk menghasilkan produk iaitu masyarakat yang berpendidikan dan berkaliber tinggi. Oleh itu hari ini, kami di Tawaukini akan berkongsi tentang sekolah yang terawal diwujudkan di Tawau, Sabah. Jika ingin tahu, teruskan pembacaan untuk artikel kali ini.


SK Bandar Tawau ataupun SRK Pekan Tawau merupakan sekolah melayu pertama yang wujud di Tawau. Bagaimana ianya bermula? 

Logo Sekolah 


Pada Tahun 1925, sebuah sekolah dibangunkan dengan bantuan penuh kerajaan Chartered Company pada masa itu. Pada awal penubuhan, sekolah ini dinamakan sebagai “Government Vernacular School Tawau” ataupun Sekolah Vernakular Kerajaan di Tawau.

Lokasi Sekolah 

Kedudukan lokasi sekolah ini telah berubah beberapa kali di lokasi yang berlainan. Antara lokasi bagi sekolah ini ialah di kawasan Pejabat Perhutanan Tawau pada tahun 1927. Kemudian selepas 6 tahun beroperasi, sekolah ini berpindah ke sebuah bangunan Pejabat Pos Lama. Keberadaan sekolah itu kekal dikawasan tersebut, sehinggalah Kerajaan Jepun memerintah di Sabah pada tahun 1933. 

Pada tahun 1946, Kerajaan British membangunkan semula sekolah ini dan dikenali sebagai “Government Primary School” ataupun Sekolah Rendah Kerajaan. Setelah 24 tahun beroperasi, sekolah ini berpindah sekali lagi untuk kali yang ketiga ke sebuah tempat yang baharu yang terletak di Jalan Utara Tawau berdekatan dengan Lapangan Terbang Tawau  (Airport Lama). 

Pembangunan Sekolah 

Pada tahun 1983, bangunan 3 tingkat didirikan beserta dengan sebuah dewan dan kantin. Setelah itu, sebuah bangunan yang diperbuat dengan papan telah dibina melalui sebuah projek yang dinamakan sebagai “Projek Kilat”. 

Bermula pada tahun 1991, sekolah ini turut digunakan oleh sebuah sekolah baharu yang diwujudkan iaitu SK Bandar Tawau II. Kawasan sekolah ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu SK Bandar Tawau 1 dan SK Bandar Tawau 2 sehinggalah sekarang ini (2021). 

Pada tahun 2003, beberapa buah bangunan didirikan menempatkan 16 bilik darjah dan sebuah kantin. Kantin yang diwujudkan adalah untuk menggantikan kantin yang telah dibina sebelum ini.

Koleksi Gambar Kelas Tahun 1971-1977
(Sumber : Akaun FB AC DC)


Setelah itu, pada tahun 2007, SK Bandar Tawau merupakan antara salah satu sekolah yang disenaraikan untuk Sekolah Impian oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sabah. Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi semua warga kerja sekolah. 

Pada tahun 2008, sebuah bangunan lagi diwujudkan untuk menempatkan 2 bilik darjah bagi kegunaan pelajar Pra-Sekolah.  Setelah itu, 4 tahun kemudian, bilik guru baharu diwujudkan serta makmal komputer 2 tingkat. 

Koleksi Gambar Kelas Tahun 2008
(Sumber : FB Mohd Shahir)


Begitulah sedikit sebanyak coretan sejarah berkenaan dengan SK Bandar Tawau. Semoga dengan artikel kali ini, dapat memberikan pembaca pengetahuan tentang sekolah-sekolah di Tawau dan seterusnya menghargai peranan sekolah yang menjadi pusat pengeluaran insan yang berwibawa lagi berkepimpinan. 

Artikel ini diolah daripada : Blog Sk Bandar Tawau

Sumber :
1. http://anyflip.com/gzlq/pqxb/basic/
2. https://www.pressreader.com/malaysia/utusan-borneo-sabah/20170921/282089161950144
3. https://pssskbandartawau.wordpress.com/about/sejarah-pss/
4. https://blogskbandartawau.wordpress.com/info-sekolah/sejarah-sekolah/
5. https://www.facebook.com/groups/discovertawau/permalink/10158891644984000 (Pemilik Gambar)







Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *