Monumen Bersejarah Ini Terletak Di Daerah Tawau Dan Telah Berusia Lebih Dari 100 Tahun!

 

Kembali lagi didalam artikel sejarah di Tawaukini setelah sekian lama tidak berkongsi tentang sejarah di Tawau, kali ini kembali untuk pembaca semua. Diharapkan artikel kali ini dapat memberikan sedikit sebanyak info kepada warga Tawau semua. 

Nampak ‘familiar’ kan? Kalau dulu-dulu selalu ada aktiviti di padang bandaran Tawau mesti tertengok binaan ini dan tertanya-tanya, ‘pondok’ apa tu?, ingatkan pondok untuk berteduh  tapi rupanya binaan bersejarah!

Menara Loceng atau Belfry

Ini adalah antara binaan yang paling lama telah wujud di daerah Tawau, Sabah. Menurut beberapa sumber, monumen ini telah berusia lebih daripada 100 tahun dan sekaligus merupakan bukti kewujudan pemerintahan kuasa asing di Tawau sebelum kemerdekaan Sabah bersama Malaysia.

Monumen ini dikatakan telah dibina hasil dana  usahawan Jepun pada sekitar tahun 1921 dan ia dikenali sebagai Menara Loceng atau Belfry. Monumen ini terletak berhampiran Padang Bandaran Tawau (salah satu tempat pilihan beraktiviti oleh warga Tawau sejak dulu lagi).

Struktur Binaan

Struktur binaan monumen ini diperbuat daripada kayu keras dan dibina oleh buruh penjara melalui dana sumbangan. Ia terdiri daripada 6 tiang teras daripada kayu bulian dan atap sirap yang turut dibuat daripada kayu bulian. 

Terdapat loceng gangsa yang telah dipasang semasa pembinaannya dan dipercayai hilang semasa Perang Dunia Kedua. Ada sumber yang mengatakan loceng tersebut disembunyikan di sebuah gereja berhampiran oleh penduduk tempatan namun tidak dapat dipastikan kebenarannya.

Fungsi Menara Loceng/Belfry

Menara Loceng ini mempunyai pelbagai fungsi dalam aktiviti seharian masyarakat pada waktu tersebut. 

Pihak polis akan membunyikan loceng ini mengikut waktu tertentu. Pada setiap pukul 8 pagi, loceng ini akan dibunyikan menandakan bermulanya waktu operasi pejabat kerajaan. Selain itu, loceng ini juga berfungsi untuk memberi amaran atau petanda untuk berkumpul di kawasan lapang padang sekiranya berlaku kecemasan seperti kebakaran dan lain-lain lagi. 

Selain itu, jenis loceng ini turut dikatakan yang lain daripada loceng yang biasa dan mempunyai beraneka jenis bunyi. 

Sejarah Kewujudan

Belfry atau Menara Loceng ini telah dibina oleh sekumpulan ahli perniagaan yang berasal dari Jepun dan telah menetap di daerah Tawau selepas Perang Dunia Pertama lagi. Dalam Perang Dunia Pertama (1818), Jepun telah berpihak dengan kerajaan British. Oleh sebab itu, mereka menjalinkan hubungan dan mewujudkan perniagaan bersama di Tawau.

Pada tahun 1945 (selepas Perang Dunia ke-2), Bandar Tawau telah dikuasai semula oleh Kerajaan British dan menariknya, monumen ini masih berdiri teguh dan merupakan satu-satunya bangunan yang tidak musnah ketika itu.

  
Bangunan Resthouse telah musnah (dan monumen ini satu-satunya bangunan yang tidak musnah)

Ia telah menyaksikan pelbagai kisah suka duka yang berlaku disekitarnya. Antaranya ialah, peristiwa tentera Jepun menyerah diri selepas tamatnya perang. Kesemua tentera Jepun bersama orang awam telah berkumpul di kawasan lapang yang mana terletaknya Menara Loceng ini. 

Pada 7 Mac 1953 pula, Belfry atau Menara Loceng ini telah menyaksikan satu tragedi kebakaran yang amat besar dimana hampir seluruh kedai dan pejabat kerajaan dibandar Tawau telah musnah. Syukur, Belfry Circa telah terselamat daripada kebakaran tersebut.

Sehingga kini, monumen bersejarah yang telah merakam pelbagai peristiwa masa silam daerah Tawau sejak bertahun lamanya ini masih lagi wujud dan dijaga rapi. Semoga ia terus dipelihara dan menjadi khazanah berharga untuk generasi akan datang. 

Sumber: Yusof Ahmad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *