Musuh kebijaksanaan ialah sifat marah. Berapa ramai orang yang bijak, tetapi akhirnya jatuh terhina kerana gagal mengawal kemarahan. Apabila marah, akal akan ditawan oleh emosi, akibatnya diri akan hilang kendali.
Pada ketika itulah manusia yang paling bijak sekalipun akan bertukar menjadi dungu. Percakapan dan perbuatan serta raut wajah akan menjadi begitu hodoh, tidak sepadan lagi dengan tingkat akal atau kecerdikannya.
Paling Sukar Dikawal
Mengikut ahli psikologi, marah merujuk kepada situasi bergelojaknya darah dalam hati untuk menolak gangguan yang dibimbangi terjadi atau kerana ingin membalas dendam kepada orang yang ingin menimpakan gangguan itu terhadapnya.
Menurut kajian psikologi lagi, kemampuan mengawal marah termasuk dalam kecerdasan emosi yang sangat penting dalam kehidupan. Seseorang mesti mampu mengawal rasa marahnya agar marah bekerja untuknya dan bukan sebaliknya. Marah adalah antara perasaan yang paling sukar dikawal.
Biasanya orang yang gagal mengawal rasa marah tidak akan dapat mengawal akal fikirannya. Dia menjadi tidak rasional, bertindak kasar, ganas dan adakalanya sangat kejam. Apabila marah reda, barulah si pemarah menyesali tindakannya.
Islam sangat mementingkan sifat keadilan dan kasih sayang. Justeru jika marah tidak terkawal, mana mungkin seseorang akan bersifat adil dan berkasih sayang. Umat Islam dituntut mementingkan keadilan bukan sahaja dalam keadaan aman, malah ketika memerangi musuh. “Dan perangilah di jalan Allah orang yang memerangi kamu tetapi janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas”. (Surah Al-Baqarah 2 : 190)
Marahlah Kerana Allah
Jauh bezanya antara tidak ada rasa marah dengan mampu mengawal marah. Yang pertama, tercela. Yang kedua, mulia. Marah diukur pada penyebabnya. Kadang dipuji, kadang dicela.
Sifat marah yang terpuji ialah marah yang datang daripada rasa ingin membela kebenaran dan agama, marah dalam mencegah kemungkaran dan perkara haram. Sementara marah yang tercela pula ialah marah pada jalan yang salah, yang dinyalakan oleh api kesombongan dan keangkuhan.
Manusia pastinya mempunyai sifat marah, kerana itu fitrah manusia. Marah merupakan satu anugerah Allah untuk mengawal keselamatan nyawa, agama, harta, keturunan dan keluarga. Dengan rasa marah kita bertindak mempertahankan bahkan menyerang balas kezaliman dan kejahatan yang dipaksakan ke atas kita.
Marah yang dipuji ialah marah bertempat. Contohnya, seorang bapa mesti marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat. Rasulullah SAW bersabda, “Suruhlah anak kamu bersolat ketika umur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka di tempat tidur”. (Hadis Riwayat Abu Dawud).
Cara Mengalahkan Marah
1. Sesiapa yang mampu mengawal kemarahan akan diberi ganjaran di dunia dan di akhirat.
2. Ucapkan Taawuz “aku berlindung kepada Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk.
3. Bayangkan betapa buruknya rupa perilaku ketika marah
4. Berwuduk. “….Maka apabila ada antara kamu marah, hendaklah dia berwuduk” (Riwayat Abu Dawud).
5. Apabila rasa marah, ubahlah kedudukan kita daripada berdiri kepada duduk atapun kedudukan lain.
6. “Apabila sesorang kamu marah, hendaklah dia diam” Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat Ahmad)
7. Tarik nafas sedalam-dalamnya serta berselawat dan beristighfar.
Semoga dengan perkongsian yang dikongsikan pada artikel kali ini mampu menjadikan manusia yang dapat mengawal kemarahan untuk memastikan kita sentiasa hidup dan keadaan yang aman dan harmoni.
Sumber : Penulisan Ust Pahrol Mohamad Juoi