Tips Penjagaan Kesihatan Mental

Selamat Datang kepada semua pembaca di Segmen Baru untuk platform Tawaukini. Di segmen ini kita akan berkongsi tentang kesihatan. Sejak PKP dilaksanakan pada tahun 2020, masyarakat bukan sahaja terpaksa berada dirumah dan berehat, tetapi turut bergelut dengan permasalahan penjagaan kesihatan terutama kesihatan mental.

Dengan jumlah kes bunuh diri yang kian meningkat, ini merupakan sesuatu yang membimbangkan. Oleh itu, pada penulisan kali ini, kita akan berkongsi berkenaan dengan tips penjagaan kesihatan mental. Jom !

Tips Penjagaan Kesihatan Mental 

Berikut merupakan antara tips penjagaan mental : 

1. Memanfaatkan Internet Sebaik Mungkin



Didalam musim PKP, internet ataupun media sosial merupakan antara medium yang paling banyak dikunjungi dan menjadi teman seharian. Dengan penyebaran maklumat yang begitu pantas, tapisan berkenaan sesuatu maklumat kemungkinan tidak sempat dilakukan kerana tersebar dengan begitu cepat. Terdapat sebahagian maklumat yang mendatangkan kerisauan dikalangan masyarakat dan menjadikan masyarakat merasa risau dan bimbang atas maklumat yang disampaikan. 

Akibat daripada kerisauan tersebut, tindakan diluar kebiasaan akan berlaku seperti stress, kerisauan melampau, dan yang paling teruk adalah bunuh diri. Oleh itu, penggunaan sosial media dan internet seharusnya digunakan dengan berhemah. Jika mampu, peruntukkan satu jangka masa yang tertentu untuk penggunaan internet dan selebihnya digunakan untuk membuat perkara berfaedah yang lain. 

Selain itu, pastikan sumber yang dibaca dan disebarkan adalah sahih. Masyarakat perlu membuat sedikit kajian dan carian berkenaan sesuatu maklumat sebelum menyebarkan kepada orang lain. Perkara ini dapat membantu membuat tapisan maklumat dan mengurangkan kes penyebaran berita palsu dan sebagainya.

2. Bergaul Dengan Ahli Keluarga Dan Kawan-kawan

Musim PKP adalah satu musim yang dapat mengumpulkan sebahagian ahli keluarga dirumah dalam satu-satu masa. Seharusnya perkara ini digunakan dengan sebaik mungkin. Bergaul dengan ahli keluarga dapat membantu menyelesaikan sedikit sebanyak masalah mental yang dihadapi oleh seseorang individu. 

Selain itu, pergaulan dengan rakan-rakan pula dapat dilakukan secara atas talian melalui aplikasi seperti Zoom, Google Meet, Discord dan lain-lain. Pergaulan sedemikian dapat membantu meringankan permasalahan yang dihadapi. Sekaligus dapat mengurangkan stress. Banyakkan luangan masa bersama dengan ahli keluarga dan kawan-kawan untuk memastikan mental kita berada sentiasa berada dalam paras normal. 

3. Bina Tabiat Yang Baik Atau Belajar Strategi Baru



Sebelum pandemik melanda, pasti kita pernah berada didalam situasi kita ingin memanfaatkan masa dengan pelbagai perkara seperti bersenam setiap petang, mengamalkan diet yang sihat, membaca buku, namun dek kerana keterbatasan masa, kita tidak sempat untuk melakukan semua perkara tersebut. Tapi, dengan pelaksanaan PKP, inilah masanya untuk melakukan segala perkara tersebut. 

Dengan melakukan perkara-perkara tersebut kita dapat memastikan mental kita dapat berada didalam keadaan yang sihat. Ilmu pengetahuan yang kita perolehi membantu kita untuk melupakan sedikit sebanyak masalah yang dihadapi. Hal ini disebabkan, pemikiran dan minda kita disemai dengan perkara-perkara yang positif sehingga kita tidak sempat untuk memikirkan hal-hal negatif. 

4. Lakukan kebaikan 

Disaat genting ini, banyak individu yang menghadapi kesukaran, memberi jika anda ada banyak atau berkongsi sekiranya anda ada sedikit. Hulurkanlah bantuan kepada mereka yang memerlukan dan sebarkanlah kebaikan. Ada banyak cara seperti menyumbang kepada NGO yang boleh dipercayai, membeli barang dari peruncit kecil di kawasan rumah, mendengar masalah kawan anda, bertanya khabar jiran anda, memberi makan kepada haiwan liar atau jangan membeli roti lebih dari yang anda akan makan. Tinggalkan sedikit untuk orang lain selepas anda.
Kebaikan yang dilakukan dapat memberikan kesedaran kepada diri kita bahawa semua orang mempunyai masalah dan diuji oleh tuhan. Pentingnya membantu diantara satu dengan yang lain, agar dapat menjadikan kita masyarakat yang harmoni. Dengan membantu diantara satu dengan yang lain, kita mampu untuk mengurangkan masalah mental yang dihadapi.
5. Bernafas untuk menenangkan diri


Bukan hanya bernafas secara refleks seperti selalu. Tetapi bernafas di bawah kawalan. Pastikan suasana diam dan tenang. Kawal pernafasan anda melalui hidung sedalam-dalamnya. Pastikan perut anda naik ketika bernafas dan kemudiannya hembus melalui mulut. Ulang untuk beberapa minit atau sehingga anda dapat rasakan badan anda mula rileks. Ini boleh membantu untuk melepaskan ketegangan fizikal dan minda disebabkan oleh situasi sekarang ini.

Diharapkan dengan penulisan artikel kali ini dapat membantu sedikit sebanyak permasalahan yang berlaku dan dapat memastikan kesihatan mental dikalangan masyarakat kita berada dalam paras normal. 

Sumber : www.doctoroncall.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *