Telatah Si Cilik Dalam Kenangan ~ Aming Disahkan Meninggal Dunia

Pagi khamis menyampaikan satu khabar dukacita buat semua peminat si cilik yang dikenali dengan nama Aming atau nama sebenarnya, Muhammad Amin Salleh Abdullah, 8 tahun. Arwah merupakan kanak-kanak yang digemari ramai dan tular di media sosial kerana kepetahannya dalam berkata-kata. 

Adik Aming dikhabarkan telah meninggal dunia pagi tadi melalui Facebook Nasha Nur Haslinda yang merupakan seorang guru yang mengajar adik Aming. Beliau memuatnaik status tersebut bersama gambar adik Aming yang memakai baju tshirt dan baju melayu berwarna merah jambu. 

Salam Takziah

إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ‎,

Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ 

Ya Allah! Ampunilah dia, rahmatilah dia selamatkanlah dia, maafkanlah dia. 



Menurut ibunya, Puan Santi, Aming dikatakan tidak mempunyai apa-apa penyakit malah sihat dan aktif. Beliau juga tidak dijangkiti oleh wabak Covid19. Sebelum meninggal dunia, Aming dikatakan sempat meminta ibunya masak kerana berasa lapar. Aming dipercayai mengalami sesak nafas secara tiba-tiba sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 1.30 pagi tadi.



Menurut ibunya, Aming ada berpesan kepada beliau untuk sentiasa menjaga aurat dengan sempurna agar bapanya tidak perlu menangung dosa. Dalam video-videonya, Aming juga sentiasa memberi nasihat secara lawak kepada ibunya itu. 

Beberapa video nasihat Aming telah tular di media sosial termasuklah video yang dirakam memberi nasihat mengenai pemakaian pelitup muka mengikut SOP yang betul untuk mengelakkan wabak covid 19. Video ini mendapat perhatian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menggalas jawatan sebagai Menteri Kanan (Keselamatan). Rakaman itu berjaya mencecah kira-kira 1.4 juta tontonan awam.
 

Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut memberikan ucapan takziah kepada adik aming melalui tulisan di Facebook beliau. 

Berita pemergian adik Aming bukan sahaja tersebar di seluruh Malaysia, malah ianya juga diketahui oleh saudara kita di Indonesia melalui pautan Instagram Ustad Das’ad Latif yang mendoakan pemergian beliau. 


Salam takziah buat seluruh ahli keluarga adik Aming. Semoga diberi ketabahan dalam menghadapi kehilangan ini, sesungguhnya adik Aming sedang berbahagia menuju Tuhan. 

Jenazah Aming dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Titingan pada hari ini. 

Akhir kata, damailah adik Aming, telatahmu sentiasa dalam kenangan. 

Al-Fatihah. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *