Nikmat Yang Selalu Dilalaikan Oleh Manusia – Ustaz Muhammad Nazran Baba

 

Terdapat beberapa nikmat yang selalu dilalaikan oleh manusia iaitu nikmat kesihatan dan nikmat masa lapang. Disaat terlantar dihospital, berapa ramai yang ingin kembali sihat bagi melakukan aktiviti seharian? Semua ingin kembali sihat. Manusia seharusnya menjaga nikmat kesihatan ini dengan sebaik mungkin dengan cara menjaga kesihatan dan pemakanan. 

Masa Lapang Sebelum Masa Sempit

Selain itu, kita seharusnya menggunakan masa lapang kita untuk beribadah kepada Allah. Pesan Ustaz Nazran, jangan tunggu sehingga datang masa sibuk barulah kita ingin beribadah kepada Allah. Sebaliknya menggunakan nikmata masa lapang dengan sebaik mungkin.

Ustaz Nazran menceritakan tentang seorang yang beliau temui, seorang yang bekerja disebuah syarikat, mempunyai pangkat yang besar. Individu ini datang kepada ustaz dan melontarkan keluhan beliau tentang masanya yang terhad untuk beribadah kepada Allah dan sedikitnya waktu yang dilapangkan untuk mendengarkan kuliah-kuliah agama.

Lihatlah dari keluhan ini, betapa pentingnya kita menghargai masa lapang kita sebelum datangnya masa sempit kita yang berlaku seolah-olah tiada penghujungnya. 

Rukun Syukur

Kita sebagai manusia kena sentiasa mensyukuri nikmat tuhan. Bagaimana untuk bersyukur? Rukun syukur itu ada dua, satu dengan mengucapkan syukur kepada Allah dan kedua menggunakan segala nikmat yang Allah SWT berikan kepada kita ke jalan yang benar yakni ke jalan yang mendatangkan pahala serta memasukkan kita ke dalam syurga Allah SWT. 

Ustaz Nazran menceritakan kisah Aisyah, Isteri Rasulullah yang bertanya kepada Rasulullah, mengapa perlu beribadah sehingga bengkak kaki di waktu masa lapang sedangkan Rasulullah ini adalah manusia yang dijanjikan dengan syurga? Lalu Rasulullah menjawab, salahkah aku menjadi manusia yang bersyukur?

Nikmat Kemerdekaan Malaysia

Kita sebagai penduduk di Negara Malaysia ini seharusnya bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dicapai dinegara kita. Bandingkan negara ini dengan negara bergolak, kita akan bersyukur kepada Ilahi atas segala nikmat yang diberikan kepada negara ini. Betapa besar nilai kemerdekaan yang seharusnya kita syukuri dalam diri kita. 

Ustaz Nazran turut menceritakan pengalaman beliau ketika belajar di luar negara dan melibatkan diri dalam satu misi bantuan bagi membantu mangsa-mangsa perang di negara bergolak. Kanak-kanak kecil datang kepada mereka lalu merayu untuk mendapatkan makanan. Daripada situasi ini, betapa besarnya nikmat yang diberikan kepada kita di Malaysia ini kerana tidak perlu untuk merayu bagi mendapatkan makanan. 

Kemerdekaan yang dicapai dan dikecapi di negara ini seharusnya di syukuri. Kita wajib bersyukur diatas keamanan negara kita sendiri. Kita seharusnya meningkatkan kecintaan kita kepada tanah air. Bahkan Rasullulah sendiri sangat cintakan Kota Mekah yang merupakan tempat kelahiran beliau. Walaupun Rasululllah berpindah ke Kota Madinah, namun kecintaannya kepada Kota Mekah itu sentiasa mekar di jiwa. Disebabkan itu, golongan yang mempertahankan tanah air, tergolong didalam kalangan orang yang mati syahid. 

Merdeka Akhirat

Selain mensyukuri nikmat kemerdekaan di dunia, kita seharusnya sentiasa memperingatkan diri kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita untuk merdeka di akhirat kelak. Pesan nabi, barangsiapa yang selamat dari api neraka dan dimasukkan kedalam syurga Allah itulah kemerdekaan yang abadi. Kita seharusnya sentiasa bersedia memerdekakan jiwa kita untuk masuk ke dalam syurga Allah. 

Sumber : Youtube Masjid Al Kauthar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *