10 Pengajaran Penting Ceramah Perdana Oleh Ust Habib Ali Zaenal Abidin | Masjid Al Kauthar, Tawau, Sabah.


Pada 10 Disember yang lalu, Masjid Al Kauthar Tawau menerima kunjungan Ust Habib Ali Zaenal Abidin bagi menyampaikan ceramah. Majlis dimulakan dengan solat jemaah bersama-sama dan disempurnakan oleh YB Andi Suryady diikuti dengan ucapan Mufti Sabah. 

10 Pengajaran Penting Untuk Dijadikan Panduan


Ust Habib Ali Zaenal Abidin memulakan ceramah beliau dengan mengulas tentang kepentingan & kebaikan hadir ke majlis-majlis ilmu untuk mendapatkan keredhaan, keampunan dan rahmat daripada Tuhan Yang Pemurah lagi Maha Penyayang. 

Berikut ialah antara pengajaran penting yang boleh kita ambil iktibar daripada isi ceramah yang disampaikan beliau:

1. Nabi Muhammad S.A.W menempuh pelbagai cabaran demi untuk menyebarkan Islam sampai ke hari ini. Beliau tidak pernah berputus asa dan sentiasa memohon pertolongan kepada Allah. Perjuangan beliau yang luarbiasa perlu dijadikan inspirasi kepada semua agar sentiasa berpegang teguh dan membela agama ini. 

2. Sesiapa yang beriman kepada Rasulullah, dalam erti kata menyanjungi, membela, mentaati dan mengikuti ajaran yang dibawa Rasulullah S.A.W. itulah orang-orang yang berjaya. 

3. Sepanjang berdakwah, pelbagai tawaran yang diberikan kepada Rasulullah seperti harta, takhta, wanita dll agar baginda berhenti berdakwah, namun ketaatannya kepada perintah Allah melebihi apapun. Kita wajib mencontohi ketaatan beliau dan mentaati perintah larangan dan suruhan Allah. 

4. Baginda S.A.W menerima pelbagai cacian dan makian namun tidak pernah bersedih kerana baginda tahu ucapan mereka tidak penting melainkan ‘pandangan’ Allah terhadapnya. Jangan mencari sanjungan orang selain mengharapkan ‘penghormatan’ iaitu keredhaan daripada Allah. 

5. Kita perlu menyelami perjuangan baginda dengan banyakkan membaca dan memahami sirah-sirah Nabi ketika beliau hidup. Dengan itu, kecintaan kita kepada Baginda akan bertambah dan meningkatkan rasa takwa serta sayang akan agama (Islam) ini. 

6. Contohi semangat kesetiaan sahabat-sahabat nabi yang sanggup berkorban dengan Nabi S.A.W dan membela agama yang disampaikan Baginda. 

7. Sebarkan “salam” kepada semua. Bukan sahaja dengan ucapan “Assalamualaikum”, tetapi berusaha membuatkan orang sekeliling berasa selamat dan sejahtera ketika berada bersama. 

8. Haiwan juga diperintahkan untuk berdakwah, apatah lagi kita sebagai manusia. Peranan kita adalah untuk menyampaikan dakwah agama Islam dan menyebarkan kebaikan-kebaikan dalam mentaati perintah Allah. 

9. Jangan menerima sebarang berita tanpa menyiasatnya terlebih dahulu untuk mengetahui sejauh mana kesahihan info tersebut. 

10. Kita hendaklah sentiasa mengambil iktibar daripada kisah-kisah diceritakan di dalam alquran. 

Ust Habib Ali Zaenal Abidin mengakhiri ceramah beliau dengan berpesan, kalau kita tidak menjaga agama ini sekarang, generasi akan datang akan kehilangan agama. Kita juga tidak boleh sesuka hati  dalam usaha ini. Semuanya haruslah berpaksikan landasan yang benar dan adab yang dianjurkan. 


Cara untuk mempertahankan agama adalah dengan menjadi muslim yang sejati. Mulakan dengan diri sendiri. 


Wallahualam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *