Kedudukan sebagai pemimpin atau status berada dalam saf kepemimpinan tertentu tidak kiralah dalam apa agensi atau pertubuhan di peringkat negeri hinggalah Persekutuan, tidak boleh dinilai sekadar satu keistimewaan semata-mata.
Sebaliknya, ia membawa amanah dan tanggungjawab penting yang perlu dipikul sebaik mungkin, malah menuntut pengorbanan cukup besar demi menjamin kesejahteraan dan kesentosaan masyarakat serta komuniti dipimpin.
Lebih utama, bagaimana amanah dan tanggungjawab itu digalas akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Hakikatnya, kepemimpinan ibarat satu janji suci antara pemimpin dan rakyat, malah ia juga janji antara diri seorang pemimpin itu sendiri sebagai hamba dengan Allah SWT sebagai Yang Maha Pencipta .
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Prof Madya Dr S Salahudin Suyurno berkata, terlalu soal amanah dan tanggungjawab amat berkait rapat dengan iman, justeru pemimpin yang tidak amanah dapatlah diertikan sebagai peneraju yang tidak memelihara iman mereka.
Beliau berkata, pemimpin tidak amanah dan tidak bertanggungjawab akan menyebabkan masyarakat dipimpinnya tidak harmoni, selain menggugat menyebabkan kesentosaan, keharmonian dan perpaduan.
Namun sebaliknya, katanya kasih sayang dan rahmat Allah SWT akan mengiringi pemimpin yang terpuji akhlak dan budi pekerti.
Allah SWT berfirman bermaksud “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat (Surah An-Nisa’ ayat 58)
Amanah dan tanggungjawab
Dalam konteks ayat berkenaan jelas sekali Allah SWT memberi penekanan betapa pemimpin dan penguasa yang diberi amanah dan tanggungjawab mesti menunaikan amanah berkenaan.
“Tanggungjawab boleh diertikan dengan kewajipan dipikul seseorang atau segala yang wajib ditanggung. Ia juga merujuk segala tanggungan, kewajipan, beban, tugas dan amanah.
“Amanah pula dapat diterjemahkan sebagai kepercayaan, kesetiaan, kejujuran, dan integriti. Dalam tradisi Islam amanah amat rapat dengan iman dan tidak sempurna iman bagi mereka yang tidak amanah,” katanya.
Salahudin berkata, penegasan tentang kaitan antara amanah dan iman dapat dilihat menerusi hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang yang tidak amanah dan tidak sempurna agama seseorang yang tidak menunaikan janji.” (Hadis Riwayat Ahmad).
Hal ini diperkukuhkan melalui hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tanda orang munafik itu ada tiga, apabila ia bercakap berdusta, jika membuat janji mungkir, dan jika diberi amanah dikhianati.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Justeru, kepemimpinan jelas sekali amanah cukup besar dan berat, ia disusuli tanggungjawab dan kewajipan yang mana ia perlu ditanggung di dunia dan akan dijawab di akhirat.
Seorang pemimpin diangkat sebagai khalifah yang membangun dan memakmurkan bumi, namun realiti semasa menunjukkan ramai tidak amanah dan tidak bertanggungjawab kerana dihasuti perasaan leka, alpa dan tertipu dengan kekuasaan diperoleh.
Untuk berkuasa pula, ada yang sanggup mendapatkan kekuasaan walau dengan apa acara sekalipun sehingga batasan hukum halal dan haram ditolak ke tepi, kerana apa yang penting memperoleh apa dihajatkan.
Sebahagian mereka menganggap kedudukan dan pangkat sebagai satu keutamaan seolah-olah dengan kedudukan yang mereka peroleh itu, boleh melakukan apa sahaja yang mereka suka.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran. Seorang sahabat bertanya, Apakah dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu, wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab, Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan, maka tunggulah saat kehancurannya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Fahami dengan jelas
Hadis ini menerangkan keperluan untuk melantik mereka yang betul-betul mempunyai kelayakan untuk menerajui sesuai urusan ummah. Jika tidak, pelbagai kehancuran akan berlaku termasuk penyelewengan, penindasan dan rasuah, malah pelbagai perbuatan terkutuk akan menjadi amalan biasa.
Justeru, nasihat kepada mereka yang diamanahkan dengan sesuatu amanah dan tanggungjawab dapat difahami dengan jelas daripada maksud ayat berikut, “Apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? (Surah Al-Mukminun, ayat 115).
Dalam ayat lain Allah SWT berfirman, “Apakah manusia mengira, bahawa ia akan dibiarkan begitu saja? (Tanpa pertanggungjawaban?) (Surah al-Qiyamah, ayat 36)
Lantas, wajar diinsafi bahawa pemimpin yang melaksanakan kewajipan diamanahkan akan diberi ganjaran pahala, sementara yang tidak menunaikannya akan mendapat dosa dan azab daripada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang di bawah pimpinan kamu; seorang pemerintah adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan terhadap rakyatnya; seorang lelaki adalah pemimpin kepada anggota keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anggota keluarganya; seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anaknya dan pimpinannya; dan khadam adalah diamanahkan terhadap harta tuannya dan akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berada di bawah amanahnya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
Melalui hadis di atas, dapatlah difahami betapa besar peranan dan tanggungjawab seorang pemimpin di sisi Allah SWT. Pemimpin yang amanah tidak akan sesekali menggunakan kedudukan dan pangkat demi mencapai kekayaan dan kemewahan peribadi, sama sekali tidak merampas atau mengambil sesuatu yang bukan hak mereka.
Sejarah juga membuktikan bagaimana Nabi SAW membentuk kerajaan Islam Madinah dengan penuh kecemerlangan dan ketakwaan.
Justeru, ambillah Rasulullah SAW dan barisan Khulafa’ al-Rasyidin sebagai ‘qudwatun hasanah’ dalam konteks memimpin ummah dan negara.
Pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat, kebajikan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan dengan terbentuk sebuah masyarakat sejahtera, jauh dari segala penyelewengan.
Ketika itu, wujud sebuah masyarakat berpandukan al-Quran dan al-Sunnah, kerana teladan diberikan Rasulullah SAW mampu membentuk masyarakat yang sentiasa berpegang dengan kebenaran.
Di zaman itu juga, kefahaman tentang tanggungjawab dan kewajipan (al-taklif) dilaksana sebaik mungkin dengan hak Allah SWT dan hak Rasulullah SAW dijaga.