Seperti yang kita ketahui, Malaysia mempunyai rakyat berbilang bangsa dan kaum yang hidup dalam suasana harmoni. Keharmonian yang kita rasakan hari ini adalah hasil toleransi dan sifat hormat-menghormati sesama kita.
Pantang Larang Dalam Memberi Hadiah Di Tahun Baru Cina
Kebiasaannya, ketika Tahun Baru Cina, warga Tionghua akan membawa ole-ole (hadiah) semasa melawat sanak saudara. Jadi, sempena Tahun Baru Cina kali ini, kami akan kongsikan beberapa pantang larang dalam memberi hadiah agar anda tidak tersilap ya!
Mari Baca!
1. Jangan memberi angpau dalam bungkusan putih/hitam atau wang tunai lama.
Hal ini kerana, warna putih/hitam memberi makna kematian, dan angpau dalam bungkusan putih/hitam hanya diberikan ketika majlis pengebumian seseorang sahaja.
Wang tunai yang sudah lama/renyuk juga tidak digalakkan kerana sempena tahun baru, sebaiknya semua harus baru. Wang juga sebolehnya diberikan dalam gandaan puluh, ratus, atau lapan atau enam.
2. Jangan jadikan jam tangan sebagai hadiah.
Perkataan “memberi jam” jika diterjemah dalam bahasa Cina, bunyinya sama dengan “menghadiri pengebumian” (sòng zhōng). Jam juga simbolik kepada ‘masa yang telah berlalu’ dan mengingatkan si penerima kepada kematian.
3. Jangan berikan hadiah topi berwarna hijau.
Ini adalah kerana ia membawa konotasi negatif; “Pakai topi hijau” jika diterjemah dalam bahasa Cina ialah dài lǜ mào zǐ, juga bermakna lelaki yang dayus.
4. Jangan berikan kasut.
Kasut pula kalau dalam bahasa Cina bunyinya seperti “kejahatan” atau xié.
5. Jangan bagi bunga tangkai (bunga yang dipotong).
Walaupun kelihatan romantis namun, ketika Tahun Baru Cina, ia perkara yang perlu dielakkan. Bunga potong amatlah dilarang terutamanya bunga berwarna putih atau kuning seperti krisantimum kerana ia biasanya diberikan semasa kematian seseorang.
Lazimnya pada tahun baru, tanaman dalam pasu yang kelihatan hidup dan segar akan diberikan. Contohnya sepasu pokok buluh, sepasu pokok buah oren, limau, kumquat atau sepasu bunga Pic, Orkid, Azalea dan Hydrangea. Lagi lebat pasu itu, lagi ‘ong’ hadiahnya bagi si penerima.
__
Hah, pastikan anda tidak memberikan barang dalam senarai di atas ya. Yang paling mudah, berikan duit baru dalam jumlah yang genap dan letakkan dalam sampul merah hehe.
Selamat Tahun Baru Cina! Gong Xi Fa Chai!
Sumber: https://dexandra.com/pantang-larang-memberi-hadiah-dalam-tahun-baru-cina/