Macam Mana Mahu Jaga Rumah Untuk Elak Kebakaran – Bersama Bomba Tawau Dan Allianz Malaysia



Terdapat 311 kejadian kebakaran melibatkan rumah, lot kedai, kenderaan, dan lalang, di Tawau pada tahun 2019, tetapi kejadian tersebut telah menurun pada tahun 2020 (165 kes) dan pada tahun 2021 (162 kes). Tambahan pula, terdapat 58 kes kebakaran struktur, berbanding 33 buah kes pada 2020 dan 34 kes pada 2021, sementara kes kebakaran membabitkan rumah setinggan juga menurun dari empat kes pada 2019, sifar kes pada 2020 dan dua kes pada 2021. Perkara ini dijelaskan oleh PKPgB Zulbada Alior, Ketua Balai, Penolong Kanan Penguasan Bomba, Negeri Sabah, Zon Tawau. 





Beliau berkata demikian di dalam satu Program Atas Talian yang membincangkan topik “Macam Mana Bha Mahu Jaga Rumah” anjuran Allianz Malaysia Berhad bekerjasama dengan Tawaukini Media Solution (Tawaukini). Program ini dikendalikan oleh Gary Mark Nagan selaku Pengacara Majlis yang juga merupakan Pengurus, Komunikasi Korporat Di Allianz. 

Di dalam program ini juga, turut dikongsikan berkenaan dengan kepentingan untuk mendapatkan perlindungan insurans daripada pihak Allianz Malaysia Berhad. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang, berkata: “Sebagai penanggung insurans, kami berasa ia penting untuk melakukan sesuatu dan melibatkan diri dengan komuniti kami untuk memperkasakan komuniti kami dengan ilmu yang penting tentang kepentingan insurans dan pemahaman yang lebih baik untuk memanfaatkannya. Matlamat kami ialah untuk penduduk Tawau untuk mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang bagaimana untuk melindungi rumah mereka dan orang yang tersayang.”



(Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang)



Didalam program ini juga, tersedia satu forum mini dengan menjemput beberapa tetamu undangan yang merupakan mangsa-mangsa kejadian kebakaran di Tawau sebelum ini. Forum ini dikendalikan oleh wakil dari Tawaukini iaitu Abdul Salam Undong selaku Moderator merangkap Ketua Komunikasi Korporat, Tawaukini Media Solution. Ketika forum tersebut berlangsung, wakil penduduk Tawau iaitu Yusree Yahya (Kampung Titingan), Irwan Tajari (Tanjung Batu Keramat), dan Nurhayati Mustafa (Kampung Kinabutan Bukit) juga telah berkongsi pengalaman mereka dengan kejadian kebakaran. 


(Bersama Yusree Yahya)



(Bersama Irwan Tajari)





Irwan memaklumkan “Kebakaran tersebut terjadi di Kampung Otentik, Tanjung Batu Keramat pada 2019, yang melibatkan 67 buah rumah; 54 buah rumah telah musnah sementara 13 buah rumah yang lain separa musnah. Apabila kebakaran mula terjadi, Bomba telah tiba dengan segera, tetapi usaha mereka tergendala kerana tekanan air yang lemah,” kata Irwan. “Sebelum ini, rumah-rumah tersebut didirikan sangat rapat dengan satu sama lain. Selepas kejadian tersebut, bersama dengan Majlis Perbandaran Tawau, rumah-rumah tersebut telah dibangunkan semula mengikut peraturan pihak berkuasa, dibina pada kawasan yang ditetapkan. Setiap rumah juga dijarakkan antara satu sama lain dengan betul,” tambah Irwan.


“Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kebakaran. Kecuaian, tidak memiliki alat pemadam api, tidak mengetahui bagaimana untuk menggunakannya dan kesedaran terhadap memastikan rumah kalis api yang rendah secara amnya seperti tidak meninggalkan dapur tanpa pengawasan sebagai contoh. Jadi, kita harus menjadi proaktif dan berusaha untuk mengurangkan kemungkinan kebakaran,” PKPgB Tuan Zulbada.

Diharapkan dengan berlangsungnya program yang sedemikian dapat memberikan  kesedaran dan ilmu pengetahuan berkenaan dengan langkah-langkah keselamatan yang harus diambil kira oleh orang ramai untuk mengurangkan kes kebakaran di Daerah Tawau. 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *