Cerita mitos dan lagenda Telaga Tujuh Kunak ini sudah lama dilupakan oleh masyarakat di sekitar Kunak melainkan orang tua dulu-dulu yang mengetahui cerita ini.
Telaga Tujuh, terletak 4 kilometer daripada Pekan Kunak dan agak terpencil. Mitos Telaga Tujuh yang popular itu di katakan terjadi di kampung berdekatan Sungai Atas, Kunak.
Ia mengisahkan tujuh orang puteri jelita dari kayangan turun bermandi manda di Sungai Permanis Dara (Sungai Atas) untuk mengekalkan kejelitaan mereka.
Tujuh Puteri
Ketujuh puteri jelita tersebut adalah puteri kesayangan Maharaja Awan Gemawan yang memerintah cakerawala. Mereka akan turun bersiram di bumi setiap kali bulan purnama penuh.
Menurut cerita orang tua-tua, tujuh buah perigi tersebut terletak di atas cerun yang tinggi dan digali oleh seorang Bota (raksasa) atas arahan Maharaja Awan Gemawan. Bota tersebut dikhabarkan setinggi Gunung Kinabalu kembali semula ke kayangan selepas membina tujuh buah perigi di permukaan batu pejal Sungai Permanis Dara dengan menaiki burung Jentayu yang sayapnya merentasi tiga benua.
Pada satu malam, ketika bulan purnama penuh, ketujuh-tujuh puteri jelita turun untuk
bermandi-manda.
Tiba-tiba, seorang anak raja daripada Alam Buana, Badang Perkasa, segera menerpa untuk mengambil pakaian ketujuh puteri jelita tersebut yang tersangkut di dahan pohon Lembayung Senja dengan harapan mereka tidak boleh kembali ke langit ketujuh lagi.
Badang Perkasa terlalu ingin untuk memiliki ketujuh puteri tersebut yang separas rupa,
walaupun pada hakikatnya telah mempunyai lima isteri yang rupawan, seorang daripadanya
Puteri Lindungan Bulan yang berasal dari Kayangan Ketiga.
Sebaik sahaja Badang Perkasa menyentuh pakaian ketujuh puteri kayangan itu, pakaian tersebut terbakar dan tubuh Badang Perkasa yang gagah turut disambar api dan kemudian satu letupan kuat kedengaran membunuh kegirangan yang bercanda.
Tubuh Badang Perkasa berkecai dan biji mata kucing yang suka ditelannya bertebaran di tebing Sungai
Permanis Dara.
Ketujuh puteri jelita begitu takut dan bimbang kerana tanpa pakaian khas itu, Sutera Angkasa, mereka tidak mungkin kembali lagi ke kayangan ketujuh, tempat bersemayamnya Maharaja Awan Gemawan.
Kesemua mereka berkumpul di kolam Kencana Jingga yang besar sehingga kesejukan dan menggigil. Mereka berpelukan di antara satu sama lain bagi menghangatkan tubuh. Hendak naik ke darat takut ternampak oleh orang.
Maharaja Awan Gemawan yang sedang terlena di buaian masa terkejut oleh letupan tersebut telah mengarahkan seorang bota kepercayaannya untuk turun ke bumi melihat keadaan ketujuh-tujuh puterinya. Maharaja Awan Gemawan dan Permaisuri Kirana Tantamala merasa tersangat sugul dan berduka nestapa kerana terpaksa berpisah dengan ketujuh puteri mereka buat selamanya.
Sumpah ahli sihir yang selama ini menghantui hidup Kirana Tantama-la akhirnya terjadi juga. Peristiwa tersebut sengaja dirancang oleh ahli sihir, Dewana Dejayengge, dengan menabur
debu Asmara Pancatirana ke selendang tujuh puteri.
Apabila selendang tersebut tersentuh oleh lelaki ia akan terbakar dan lelaki yang menyentuhnya akan berkecai bersama selendang Sutera Angkasa.
Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan. Bulan menjangkau tahun. Tahun berganti dekad. Maharaja Awan Gemawan dan Permaisuri Kirana Tantamala telah mangkat.
Ketujuh-tujuh puteri semakin jelita, namun terpaksa tinggal di dunia dengan ditemani Buragas. Pohon mata kucing (daripada biji yang ditelan oleh Badang Perkasa) tumbuh berceracak di tebing Sungai Permanis Dara.
Sejak daripada itu, kawasan Sungai Permanis Dara dikunjungi oleh para penduduk kampung
sekitar yang mencari rotan dan menyusuri jeram Sungai Permanis Dara. Mengikut cerita lisan orang tua-tua, kononnya beberapa orang tertentu yang bernasib baik akan dapat melihat ketujuh puteri kayangan itu bermandi-manda di dalam kolam tanpa dibaluti walau oleh seurat benang.
Tetapi bagi lelaki bertuah yang dapat melihat ketujuh puteri tersebut tidak boleh menceritakan kepada orang lain. Diceritakan beberapa insiden tragis berlaku apabila lelaki yang melihat ketujuh puteri sedang bermandi manda didapati terbakar tubuh badannya seperti terkena api apabila dia menceritakan kisah tersebut kepada adik lelakinya.
Manakala adiknya turut mati ditimpa kayu setelah menyampaikan cerita tersebut kepada rakannya. Beberapa orang penduduk yang sering mendatangi Sungai Permanis Dara (Sungai Atas) untuk mengambil buah mata kucing sering terdengar pelbagai bunyi aneh dan ada kalanya seperti bunyi orang menangis.
Tempat Bernazar
Kawasan Telaga Tujuh sering dikunjungi oleh mereka yang bernazar untuk mendapatkan sesuatu hajat dan membawa pulang air sungai daripada ketujuh-tujuh kolam tersebut. Setelah bermalam selama tiga hari di tebing sungai tersebut, jika mendapat mimpi yang baik akan menemui ketujuh puteri dan jika tidak bernasib baik akan dikacau oleh makhluk halus.
Ada satu kejadian kehilangan enam pemuda di telaga ini namun ia masih menjadi misteri sehingga ke hari ini.
Ada yang berkata, hal ini bermakna puteri bungsu, Kesuma Madukara masih belum bersuami dan tidak hairanlah masih ramai pemuda yang mencuba nasib untuk bermalam agar dipinang oleh puteri bungsu tersebut dan hidup di alam bunian keran a6 pemuda yang hilang itu telah berkahwin dengan 6 orang puteri tersebut.
Telaga besar masih menyimpan misteri yang belum terungkap. Ada orang tua-tua yang beranggapan bahawa telaga paling dalam dan besar tersebut mempunyai gua di bawah air yang tidak pernah kering dan merupakan tempat persembunyian ketujuh puteri dan mungkin bersama enam pemuda yang hilang itu.
Ramai anak muda tidak berani menyelam di telaga tersebut untuk menerokai gua bawah air yang masih menjadi tandatanya. Ianya telaga kecil yang sering menjadi sasaran untuk anak-anak muda bermandi manda terutama di hujung minggu.
Sumber: https://www.sabah.gov.my/pd.knk/Misteri%20Telaga%20tujuh.pdf