Sehingga abad ke-19, Sabah dan Sarawak termasuk di bawah wilayah jajahan Kerajaan Brunei Tua. Ada sumber yang menulis, “Borneo” dan “Brunei” adalah perkataan sama yang merujuk kepada wilayah pemerintahan Brunei. Kerajaan Brunei Tua ini dipercayai telah wujud seawal abad ke tujuh.
Secara geografinya, Sabah terletak di bahagian utara Borneo. Ada lima bahagian pentadbiran; Tawau, Sandakan, Kudat, Pantai Barat, dan Pedalaman. Kota Kinabalu sebagai ibu negeri.
Penjajahan Borneo Utara
Borneo Utara (hari ini dikenali Sabah) dijajah oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB) tahun 1881 sehingga 1942. Ketika Perang Dunia kedua, Sabah telah dijajah oleh Jepun (1942-1946).
Selepas Perang Dunia Kedua berakhir, Sabah telah diletakkan di bawah pentadbiran British dan dikenali sebagai Tanah Jajahan Mahkota British dari tahun 1946 sehingga 1963.
Sejarah Awal Sabah Mempengaruhi Isu Permasalahan Hak Pemilikan (Malaysia-Filipina)
Sumber sejarah penting dalam menjelaskan sesuatu peristiwa. Namun, tak semua peristiwa masa lampau memiliki catatan tepat kerana keterbatasan sumber.
Hal ini menyebabkan banyak peristiwa bersejarah masih kekurangan fakta. Penelitian terhadap sumber dokumen berkenaan Sabah pada era sebelum dan selepas merdeka menunjukkan bahawa masih banyak usaha yang perlu dilakukan.
Kekangan dari aspek kekurangan sumber ini menyukarkan pengkajian dan penulisan, malah mempengaruhi interpretasi dan perspektif baharu yang cuba ditampilkan berkenaan sejarah Sabah.
Perkara ini terbukti menerusi penelitian terhadap hak pemilikan ke atas wilayah pantai timur Sabah yang didakwa milik Kesultanan Sulu. Ekoran kekurangan sumber alternatif mengenainya, maka permasalahan ini masih kekal berlarutan walaupun pelbagai usaha persefahaman kerap diadakan antara kedua-dua buah negara.
Malaysia (Sabah) Vs Filipina
Ketika Filipina mencapai kemerdekaan pada tahun 1946 sehingga tahun 1962 TAKDA sebarang tuntutan rasmi ke atas Sabah dibuat oleh Filipina. Keutuhan dan kedaulatan Sabah kekal terjamin dalam tempoh tersebut meskipun masih terdapat tuntutan yang dibuat oleh Sultan Sulu dan warisnya.
Antara asas tuntutan Sultan Sulu dan warisnya untuk menuntut Sabah pada ketika itu adalah:
1. Waris-waris Sultan Sulu mendakwa pemberian tersebut adalah bersifat pajakan dan bukannya penyerahan untuk selama-lamanya.
2. Walau bagaimanapun, tuntutan-tuntutan tersebut gagal menarik minat Filipina untuk menyokong tuntutan yang dibuat oleh waris Sultan Sulu tersebut. Sehinggalah pada 22 Januari 1962, Macapagal mengemukakan aide-memoire tuntutan ke atas Sabah kepada British.
3. Ketika Presiden Macapagal mengumumkan hasrat Filipina untuk menuntut Sabah pada Jun 1962, Filipina hakikatnya masih belum mengkaji secara komprehensif mengenai kes tuntutan tersebut.
4. Hanya selepas aide-memoire tersebut dihantar, barulah jawatankuasa untuk mengkaji kes tuntutan ditubuhkan. Antara yang terlibat secara langsung mengkaji kes tuntutan tersebut termasuk Orendain yang menggunakan bahan dari Department of Foreign Affairs (DFA), Menteri Simeon Roxas, ahli kongres Salonga dan duta Filipina Quintero yang juga seorang peguam serta diikuti dengan pelantikan sekumpulan pakar khas oleh DFA.
5. Tuntutan tersebut juga merupakan satu usaha Filipina untuk menghalang rancangan pembentukan Malaysia yang diumumkan oleh Tunku Abdul Rahman pada 27 Mei 1961 yang melibatkan penggabungan negeri Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sabah dan Sarawak.
6. Pengisytiharan pembentukan Malaysia ini telah memberikan tamparan yang cukup hebat buat Republik Filipina kerana hasratnya untuk memiliki Sabah hampir menemui kegagalan.
7. Pertikaian mengenai hak kedaulatan ke atas Sabah antara kerajaan Filipina dan Malaysia kemudiannya berlanjutan sehinggalah ke era pemerintahan Presiden Ferdinand Marcos yang mengamalkan pendekatan yang lebih agresif untuk menuntut semula Sabah. Antaranya termasuk merancang misi sulit untuk menyerang Sabah yang digelar sebagai “Operasi Merdeka” pada Mac 1968.
8. Peristiwa yang dikenali sebagai Jabidah Massacre atau Corregidor Incident tersebut telah mengorbankan kira-kira 28 hingga ke 64 orang Muslim Filipina yang direkrut dalam latihan ketenteraan di Pulau Corregidor.
9. Berikutan peristiwa tersebut, hubungan diplomatik Filipina-Malaysia sekali lagi terputus kerana tiada penyelesaian dipersetujui mengenai konflik tersebut.
10. Setelah hampir sedekad, barulah Presiden Marcos mengumumkan pengguguran tuntutan ke atas Sabah ketika berlangsungnya persidangan Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) di Kuala Lumpur pada tahun 1977.
Permasalahan hak pemilikan ke atas wilayah pantai timur Sabah antara Malaysia dengan Filipina dipercayai dapat disandarkan kepada tiga peristiwa penting dibawah iaitu;
● Perang Chermin antara Sultan Abdul Mukmin dengan Sultan Muhyiddin (Perang Saudara Brunei)
● Perjanjian Belanda dengan Kesultanan Bulungan pada tahun
● Perjanjian antara Baron de Overbeck & Alfred Dent dengan Sultan Jamalul ‘Azam
Pada umumnya keadaan negeri Borneo Utara adalah aman dan tenang sehingga tahun 1960-an apabila wujudnya kesedaran politik. Keinginan kemerdekaan seperti yang dicapai oleh negara lain telah sampai ke Borneo Utara.
Penyebaran semangat ini bermula dengan pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman pada tahun 1961 berkaitan dengan pembentukan Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Malaya, Borneo Utara, Sarawak, Brunei dan Singapura.
Malaysia telah wujud dengan rasminya, tanpa Brunei, pada 16 September 1963 dan nama Borneo Utara telah ditukar kepada Sabah. Terlebih dahulu dari itu, Borneo Utara telah mencapai kemerdekaan dari British pada 31 0gos 1963.
Sumber:
● https://www.slideshare.net/bilcher/latar-belakang-sabah-sarawak
● https://core.ac.uk/download/pdf/328815362.pdf
● https://jurcon.ums.edu.my/ojums/index.php/ejk/article/view/130/72
● https://www.scribd.com/document/128229159/Sejarah-Sabah