Sambut Setiap Tahun, Ini 6 Fakta Menarik Hari Wanita Yang Perlu Anda Tahu!

Hari Wanita Sedunia diraikan setiap tahun pada 8 Mac. Sambutan ini adalah untuk meraikan para wanita hebat di seluruh dunia. Di Malaysia, tema sambutan tahun ini ialah “Gender Equality Today for Sustainability Tomorrow”.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) memilih tema ‘Saksama Bersama’ atau “Break the Bias” yang juga bertepatan dengan matlamat yang digariskan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030) untuk meningkatkan kesedaran seluruh lapisan masyarakat tentang peri pentingnya mencapai kesaksamaan jantina di Malaysia.

Memperkasa wanita bukan untuk menyaingi lelaki tetapi untuk turut sama membangunkan generasi.

6 Fakta Menarik Hari Wanita

1. Hari Wanita Sedunia merupakan hari bagi menghargai dan mengiktiraf kejayaan yang diperoleh golongan wanita di seluruh negara tanpa mengira latar belakang, etnik, bahasa, budaya, ekonomi sekalipun politik.

2. Merujuk kepada sejarah, kemunculan idea hari wanita ini bermula dengan dua peristiwa penting pergerakan wanita di Amerika Utara dan rantau Eropah.

3. Pada Februari 1909, berlaku satu bantahan dan protes dalam kalangan wanita di Amerika Utara mengenai hak wanita mengundi sewaktu pilihan raya di negara-negara tersebut. Bantahan itu diketuai oleh para wanita dari Parti Sosialis Amerika Syarikat dan kemudiannya ia bertukar menjadi hari rasmi bagi golongan wanita.

4. Kemudian pada Ogos 1910, Persidangan Antarabangsa Sosialis kali kedua di Eropah mencadangkan agar Hari Wanita itu turut dijadikan hari rasmi bagi wanita di seluruh dunia sebelum dipersetujui 27 delegasi yang hadir ketika itu. Saat itu, Hari Wanita Sedunia menjadi milik semua para wanita.

5. Selain warna ungu, hijau dan putih pernah dijadikan warna tema Hari Wanita Sedunia di mana hijau melambangkan sebuah harapan manakala putih pula tanda kesucian.

6. Selain itu, Hari Wanita mula di sambut pada 19 Mac 1911 di Jerman, Austria, Denmark dan Switzerland yang melibatkan himpunan besar-besaran dalam kalangan wanita.

___

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *