Zakat Fitrah Suatu Kewajipan, Berdosa Jika Sengaja Tidak Tunaikan

 


Zakat fitrah merupakan satu kewajipan yang besar dan berdosa sekiranya sengaja tidak menunaikan. Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, umat Islam perlu sentiasa peka dan tidak boleh melupakan kewajipan berkenaan. “Zakat fitrah ini besar kewajipannya sebab masa diberikan amat panjang iaitu sejak awal Ramadan lagi. Jadi alasan terlupa itu tidak munasabah.




“Andai kita lupa, maka berdosa dan perlu meminta keampunan kepada ALLAH SWT,” katanya dalam Sinar Live bertajuk ‘Keliru zakat di bulan puasa’ pada Khamis. Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, zakat fitrah berbeza dengan zakat harta kerana zakat harta dibayar di mana harta itu diperolehi.



“Maknanya jika pendapatan saya di Pulau Pinang, maka zakat harta harus dikeluarkan di Pulau Pinang,” katanya Bagaimanapun katanya, berbeza dengan zakat fitrah kerana ia perlu dikeluarkan di mana individu itu berada. “Contoh, kalau kita merayakan Hari Raya Aidilfitri di Kedah, maka kena keluarkan (zakat) di Kedah. “Jika tiada sebarang organisasi yang menguruskan zakat di tempat dia berada, maka dia boleh membayar zakat di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, berkenaan hukum membayar zakat fitrah secara dalam talian, beliau berkata, Islam agama sangat progresif dan mengalu-alukan kemajuan. “Perkembangan sains dan teknologi banyak memberi kemudahan, jadi Islam tidak melarang umatnya memanfaatkan teknologi yang memudahkan urusan bagi menunaikan tanggungjawab seperti membayar zakat fitrah ini,” katanya.
Sumber : Sinar Harian



 




Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *