Hospital Tawau : Bermula Wad Kecil Kini Pusat Perubatan Utama Pantai Timur Sabah



Sempena dengan Sambutan Hari Jururawat kali ini, marilah kita menelusuri sejarah tempatnya jururawat berkumpul di Tawau, Sabah.

99 tahun melakar sejarah, mencoret kenangan suka dan duka. Transisi warga baru zaman berzaman, meraikan kelahiran, menangisi pemergian. Begitulah sejarah besar yang terukir hari demi hari, di Hospital Besar Tawau.

Pada Edisi Khas Tawaukini kali ini akan membawa anda semua untuk menelusuri sejarah serta asal usul Hospital Tawau. Selama ini mungkin kita hanya berkunjung ke Hospital Tawau, tapi pernahkah kita terfikir bagaimana dan bila hospital ini mula beroperasi? Apakah perkara besar yang pernah berlaku di sini?


Teruskan membaca untuk mengetahui lanjut tentang hospital ini okey?

Bagaimana Hospital Tawau Bermula?

Hospital ini mula beroperasi sejak 99 tahun yang lepas iaitu pada tahun 1922. Pada awal permulaan hospital ini beroperasi, hospital ini hanyalah sebuah hospital yang kecil. Hospital ini terletak di kawasan pesisir pantai Bandar Tawau. Dan setelah 18 tahun ditubuhkan, beberapa Unit dan Wad telah diwujudkan untuk beroperasi iaitu Unit Pesakit Luar, Wad Kelas Dua, Wad Pengasingan dan Dapur.

Hospital Tawau diawal Pembukaan Tahun 1924


Foto ‘Rare’ Hospital Tawau Suatu Ketika Dahulu


Nama Asal Hospital Tawau

Pada awalnya, Hospital Tawau bukanlah dinamakan sedemikian, sebaliknya dipanggil Hospital Silimpompon sebelum ini. Sepertimana yang kita tahu, kawasan Tawau berdekatan dengan sebuah Bandar Arang Batu terbesar di Asia Tenggara yang telah hilang iaitu Silimpompon. Hospital yang didirikan pada awalnya hanyalah berdindingkan kayu dan daun panjang iaitu Daun Palma.

Peta Lokasi Silimpompon


Cottage Hospital Tawau 1949


Pembinaan Klinik Pakar

Seterusnya, pada tahun 1990 iaitu setelah 68 tahun ditubuhkan, Klinik Pakar telah dibina. Pembinaan klinik ini adalah untuk menampung pertambahan penduduk dan keperluan bagi perawatan. Bangunan ini telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia pada masa tersebut iaitu Datuk Dr. Chua Jui Ming.

Datuk Dr. Chua Jui Ming
(Menteri Kesihatan Malaysia Tahun 1995 sehingga 2004)


Majlis Perasmian Klinik Pakar


Bangunan poliklinik yang telah diwujjudkan menempatkan Klinik-klinik pakar, Pejabat Pengurusan, Tabung Darah, Unit Rekod Perubatan, Farmasi, Klinik Pergigian dan juga Jabatan Kecemasan Dan Trauma.

Perkembangan Hospital Tawau

Hospital Tawau mula berkembang pada tahun 2002 dengan pembinaan projek bangunan baru 6 tingkat. Bangunan kemudiannya meletakkan Wad, Dewan Bedah, Rawatan Rapid dan Kardiologi, CSSU, Pusat Latihan dan Perpustakaan. Pada Julai 2007, bangunan yang didirikan ini mula beroperasi secara berperingkat.

Bagi memberikan keselesaan kepada pesakit dan keluarga yang mengunjungi hospital ini, Projek Hospital Dalam Taman telah dilaksanakan bermula pada tahun 2005. Setiap unit diberikan sebuah kawasan persekitaran untuk dijadikan sebagai taman angkat dan seterusnya menjadi Taman Terapeutik. Selain itu, dengan wujudnya Taman Terapeutik in dapat mengubah persekitaran hospital menjadi lebih menarik dan menjadi tempat untuk pengunjung berehat dan melakukan aktiviti refleksologi di taman-taman yang disediakan.


Taman Terapeutik Hospital Tawau


Kawasan Taman Untuk Aktiviti Refleksologi


99 Tahun Penubuhan

Kini pada tahun 2021, tahun ke-99 Hospital Tawau telah ditubuhkan. Hospital Tawau kini menjadi sebuah hospital rujukan utama dipantai Timur Sabah, selain dari Hospital Sandakan kerana telah menjadi hospital kes rujukan bagi kawasan sekitar Tawau, Semporna, Lahad Datu dan kawasan Nunukan, Kalimantan.

Hospital ini menawarkan khidmat kepakaran dalam bidang Pembedahan Am, Perubatan Dalaman, Bius, Radiologi, Mata, Orthopidik, Perbidanan dan Sakit Puan. Begitulah peranan hospital ini kepada masyarakat di Sabah.


Landskap Hospital Tawau


Antara Kawasan di Dalam Hospital Tawau


Peranan Hospital Dikala Pandemik

Dengan kedatangan pandemik Covid-19, Hospital Tawau telah menjadi salah satu hospital tumpuan, bukan sahaja di Sabah tetapi juga diseluruh negara. Dengan peningkatan kes di Daerah Tawau pada beberapa bulan yang lepas, kakitangan hospital besengkang mata dan membanting tulang bagi menangani wabak ini daripada terus merebak dikalangan masyarakat.

Marilah kita sama-sama menghargai peranan kakitangan hospital dikala pandemik ini. Masyarakat dan petugas kesihatan berganding bahu untuk sama-sama menentang wabak Covid-19 ini. Salurkan sokongan anda kepada para petugas kesihatan dalam apa jua bentuk samada ada melalui doa, kata-kata mahupun wang ringgit dan barangan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang bertarung nyawa.


Barangan Sumbang Untuk Petugas Kesihatan

Sekitar Projek Sumbangan Tawaukini (Tabung Solidariti Tawau) 
Kepada Pihak Hospital Tawau


Terima kasih kepada yang sudi membaca artikel kali ini. Diharapkan artikel yang diterbitkan kali ini dapat memberikan pembaca pengalaman dan pengetahuan baharu tentang Bumi Tawau yang indah ini. Sama-samalah kita menghargai peranan hospital dan kakitangan dikala pandemik yang berlaku ketika ini. Teruskan berjuang petugas kesihatan walau dimanapun berada.

Rujukan:

1. http://htwu.moh.gov.my/v3/modules/informasi/item.php?itemid=5&lang=english
2. https://ms.wikipedia.org/wiki/Hospital_Tawau
3. https://www.irsociety.co.uk/Archives/14/Borneo.gif
4. https://en.wikipedia.org/wiki/Chua_Jui_Meng
5. https://www.pressreader.com/malaysia/utusan-borneo-sabah/20200322/281496458367738
6. http://www.etawau.com/Development/Hospital.htm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *