Lastik Ayam Jiran Yang Selalu Cemarkan Kawasan Rumah, Boleh Atau Tidak?Jom Baca Disini, Manatahu Boleh.

“Eish, ayam-ayam ni, kau tunggu ya, kau datang lagi berak disini, memang ku lastik kau”. Keluh Si Piah terhadap ayam jiran yang selalu masuk ke kawasan rumahnya. 

Adakah perbuatan melastik ayam ini dibenarkan?Jom kita baca penulisan kali ini.

 

Perbuatan mengusir binatang daripada kawasan kediaman sehingga menzalimi binatang tersebut seperti melastik ayam adalah berdosa. Perkara ini mesti dihindari kerana disebutkan dalam suatu hadis orang yang menzalimi binatang akan mendapat balasan daripada Allah SWT.

Berpandukan kepada situasi yang berlaku, pemilik ayam tersebut seharusnya menjaga adab-adabnya dengan jiran sekeliling. Sebagaimana yang dituntut dalam agama Islam seseorang yang hidup berjiran perlu menghormati jirannya dan berbuat kebaikan kepada jiran.

Didalam Surah Al-Nisa ayat 36, Allah telah berfirman, “….Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh….”

Tuan ayam tersebut sepatutnya menjaga ayamnya dengan baik agar tidak berkeliaran sehingga mencemarkan halaman kediaman jirannya yang akhirnya akan menyebabkan jirannya berasa tidak selesa dan tersakiti. 



Manakala, jiran yang rumahnya dicemari dengan tahi ayam dibolehkan untuk menghalau ayam tersebut daripada kediamannya kerana rumah dan kawasan halaman rumah tersebut adalah haknya. Tetapi, tidak boleh menghalau ayam tersebut secara zalim dan boleh memudaratkan ayam tersebut. 

Perkara ini berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda “Seseorang wanita dimasukkan kedalam neraka disebabkan seekor kucing yang ditambatnya tidak diberi makanannya dan tidak melepaskannya untuk mencari makanan diatas muka bumi.

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa orang yang melakukan sesuatu kemudaratan dan kezaliman terhadap binatang akan mendapat balasan daripada Allah di akhirat kelak. 

Jiran yang kawasan kediamannya dicemari oleh ayam jirannya boleh menasihati terlebih dahulu pemilik ayam tersebut supaya ayam-ayamnya dipelihara dengan baik dan tidak berkeliaran sehingga mengganggu jiran sekeliling.

Seterusnya, jika tidak berjaya nasihat tersebut maka dicadangkan agar perkara ini diadukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Hal ini kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengenakan kompaun dan memberi notis amaran kepada pemilik binatang tersebut. Perkara ini juga supaya pemilik binatang tersebut lebih cakna dan lebih prihatin dalam menjaga binatang yang diternak olehnya.

Semoga bermanfaaat. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *