4 Keistimewaan Daerah Tawau yang WAJIB anda tahu!

 

Bila sebut saja tentang daerah Tawau, apa yang terlintas di fikiran kita  mungkin mengenai makanan dan masyarakat yang tinggal di daerah ini. Tapi tahukah anda bahawa Tawau juga sama seperti daerah lain di Sabah yang memiliki pesona dan keistimewaannya tersendiri? Yaa boskuu! Meskipun Tawau cuma sebuah daerah yang agak biasa dari segi pembangunannya, namun bagi masyarakat kelahiran di bumi peladang ini, Tawau begitu istimewa dan sangat dekat di hati.

 

 
 
1. Warna warni masyarakat Tawau
    Bercerita tentang masyarakat Tawau, apa yang boleh dikatakan ialah rakyat kita mempunyai semangat perpaduan dan kesatuan yang tinggi. Lihat jalah macam mana orang kita apabila majlis keramaian diadakan, kalau ndak memenuhi ruang mungkin saja itu bukan orang Tawau. Teringat apabila hampir 50,000 masyarakat setempat membanjiri malam kemuncak festival kebudayaan antarabangsa kali ke-8 di MPT. Bermacam-macam bangsa dan bahasa yang dapat dilihat dan didengari.

 

 

       Bukan itu sahaja, daerah kita jugalah yang masih mengekalkan tradisi perkahwinan dua waktu iaitu siang dan malam. Berbeza dengan sesetengah daerah lain di Sabah yang hanya menganjurkan majlis perkahwinan pada satu sesi sahaja. Kalau boleh satu kampung dijemput, memang orang Tawaulah tu!

 

 

2. Kekayaan khazanah alam Tawau

 

        Sesuai dengan gelaran Tawau bumi hijau, daerah kita sebenarnya begitu kaya dengan khazanah alam. Rasanya sudah ramai yang tahu bahawa Tawau memiliki beberapa gunung berapi yang terkenal seperti Maria. Bukan Maria jiranmu, Maria gunung berapi bosskuu. Meskipun tidak aktif, Maria sebenarnya sudah pernah meletus pada ribuan tahun yang lalu. Selain daripada Maria, kita juga ada gunung Bombalai, Andrassy, bukit Tiger dan bukit Tinagat yang masing-masingnya dikategorikan sebagai gunung berapi purba. Fuhhh! Seram jugalah kalau difikir, ndak terbayang kalau meletus. Tapi semoga baik-baik jaa daerah kita, amiiin.

        Gunung sudah, bukit pun sudah. Mari kita beralih kepada pokok pula. Di Taman Bukit Tawau atau lebih dikenali sebagai Table ni sebenarnya ada pelbagai keindahan yang bukan sahaja mencuri perhatian masyarakat di sini bahkan pelancong dari luar. Tawau juga sebenarnya memiliki pokok tropika tertinggi di dunia yang dikenali sebagai meranti kuning. Pokok yang berukuran 89.5(m) ini juga dikatakan mempunyai ukuran yang hampir sama dengan menara jam Big Ben di London. Inilah kata orang, tinggi-tinggi bangunan di negara orang, tinggi lagi pokok meranti di Tawau. Eh masukkah? Hmmm dia-diaa lah tuu.

3. Tawau sebagai syurga makanan

 

        Nahh ini yang paling best. Daerah Tawau juga terkenal dengan gelaran syurga makanan. Apa yang menariknya, kita ada makanan yang menjadi kegemaran masyarakat luar seperti mee tauhu, nasi lalap, nasi kuning, buras, likuk, coto/soto, gado-gado dan tidak lupa juga kuih-muih di sini. Belum cerita lagi dengan makanan-makanan yang pernah viral, lagi terliur orang yang membaca. Kata orang, kebanyakan makanan Tawau ni sukar didapati di tempat lain dan hanya akan sedap bila dimakan di Tawau dan bukan tempat lain. Sebegitu sekali yaa..

 

 

        Kalau anda juga merupakan pelancong luar yang inginkan kepelbagaian oleh-oleh, Tawau juga ada Pasar Tanjung yang menjadi perhentian wajib bagi setiap orang yang datang ke sini. Dengan memiliki 6,000 gerai beserta produk yang pelbagai, anda sudah boleh dapatkan pelbagai barangan yang berbeza sama ada berbentuk makanan basah/kering, minuman, pakaian, peralatan dapur dan macam-macam lagi!
        Di sini jugalah orang luar selalu mendapatkan keropok amplang untuk dibawa keluar. Kalau Kl ada roti gardenia, Tawau ada keropok amplang. Tapi sedia-sedia jalah mata kalau mau berjalan di sini sebab Pasar Tanjung ni merupakan pasar tertutup terbesar yang ada di Malaysia! Takut pulak ndak tekeluar sebab rambang mata.. haha
 

4. Masjid terbesar di Sabah
 
        Kali ni min akan bercerita mengenai projek arkitek yang ada di Tawau. Masjid terbesar di Sabah juga sebenarnya terletak di daerah kita. Agak-agak masjid apa yaa? Masjid tersebut ialah Masjid Al-Kauthar yang terletak bersebelahan dengan Jalan Traulsen dan Jalan Persisir. Masjid yang menelan perbelanjaan sebanyak RM31.5 juta ni mampu menampung jemaah seramai 17,000 dalam satu masa dan telah dirasmikan oleh Dipertuan Agong kita pada ketika itu.

 

        Keluasan masjid ni juga dibuktikan dengan pecahan kawasan yang terbahagi kepada tiga iaitu bawah, tengah dan atas. Lokasinya juga begitu strategik kerana terletak di kawasan bandar dan berhadapan dengan laut. Anginnya pula jangan cerita, sepoi-sepoi bahasa~ Subhanallah. Bukan setakat itu, masjid Al-Kauthar juga banyak menyediakan kemudahan kepada orang awam seperti tempat penyimpanan barang, dewan seminar dan perpustakaan yang boleh digunakan oleh semua orang. Untuk pelancong yang bermusafir ke Tawau, Al-Kauthar mungkin lokasi yang anda cari 😊

 

        Akhir sekali, admin berharap bahawa dengan adanya penulisan ringkas ini ia dapat mengisi ruang sebagai pemberi maklumat berkenaan keistimewaan daerah Tawau. Banyak lagi sebenarnya min mahu kongsikan tapi mungkin di penulisan yang akan datang. Terima kasih kerana sudi meneruskan bacaan anda. Yang rasa-rasa mahu melancong ke sini, ndak perlu ditunda-tunda kerana Tawau sentiasa ada untuk kamu. Ciaaa~ Okay guys, semoga berjumpa di penulisan akan datang. Jaga diri, jaga kesihatan dan stay tuned dengan page TawauKini untuk cerita-cerita menarik dan panass! Baii gaiss!
Rujukan:


https://www.sabahpost.net/2019/03/24/hampir-50000-pengujung-meriahkan-festival-kebudayaan-antarabangsa-tawau/

http://studentsrepo.um.edu.my/5072/1/Disertasi_Penuh_(IGA_100072).pdf ms (39-40)

https://www.sumbesar.com/2021/07/pokok-tropika-sabah-tertinggi-dunia.html

https://www.islamituindah.my/malaysia-memiliki-gunung-berapi-di-tawau-pernah-meletus-ribuan-tahun-yang-lalu/

https://www.sabahtourism.com/destination/tawau-tanjung-market/?locale=en

https://www.lizaizara.com/2019/08/keropok-amplang-di-pasar-tanjung-tawau.html

https://duniaerakita.wordpress.com/2020/09/03/masjid-terbesar-di-sabah/

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *