Seorang warga asing akan dipenjara selama 15 tahun dan menjalani 10 sebatan sebelum dihantar pulang ke negara asalnya kerana merogol anak tirinya pada Ogos lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 41 tahun, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki Warga Indonesia itu didakwa merogol mangsa berusia 12 tahun ketika itu di sebuah rumah di Batu 17, Jalan Bukit Quoin, dekat sini, pada jam 8 pagi antara 1 Ogos dan 30 Ogos tahun lalu.
Tertuduh yang bekerja sebagai buruh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana memohon agar mahkamah mempertimbangkan kepentingan awam, serta trauma yang dihadapi mangsa, dan menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh.
Jelasnya, sebagai seorang bapa, tertuduh sepatutnya melindungi mangsa tanpa mengira sama ada anak kandung atau anak tiri, sebaliknya merogol dan menghamilkan mangsa.
“Pihak pendakwaan juga menganggap trauma yang dihadapi mangsa yang dalam kes ini masih muda (12 tahun) dan terpaksa menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal tanpa suami.
“Tertuduh juga tidak menunjukkan rasa kesal atau menyesal atas perbuatannya itu.”
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjarakan selama 15 tahun dari tarikh dia ditangkap, pada 22 Sept lepas dan dikenakan 10 sebatan rotan. Tertuduh juga akan dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia dan dihantar pulang ke Indonesia sebaik sahaja dia menyelesaikan hukumannya.
Berdasarkan fakta kes, mangsa dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Tawau pada 11.30 pagi, 21 Sept lepas oleh guru sekolahnya yang mengesyaki hamil.
Pemeriksaan oleh doktor yang bertugas mengesahkan mangsa hamil tujuh bulan, dan laporan kemudian dibuat.
Sumber : NST