Perbuatan ‘prank’ seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis ketika menghantar kek di Balai Polis Tapah di sini memakan diri, apabila menyebabkan dia ditahan polis.
Menyamar Sebagai Pegawai Kanan Polis Bukit Aman
Suspek berusia 36 tahun itu datang ke balai polis berkenaan kira-kira pukul 3.20 petang semalam dan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai kanan polis dari Bukit Aman kepada anggota polis yang bertugas sebagai penyelia kaunter aduan.
Suspek kemudian mengarahkan anggota polis terbabit untuk masuk ke kaunter aduan dan menyatakan dia adalah Pegawai Turus dari Bukit Aman dan kedatangannya adalah untuk menangkap anggota berkenaan.
Prank Dengan Membawa Kek
Suspek kemudian berkata hendak keluar bagi mengambil fail dan apabila masuk semula ke balai, suspek membawa sebiji kek dan menyatakan tindakannya sebelum itu adalah ‘prank’.
Kek yang dibawa oleh suspek merupakan tempahan daripada seorang pelanggan untuk diberikan kepada anggota polis terbabit. Bagaimanapun perbuatan suspek telah melampaui batas dan perbuatannya adalah salah kerana disifatkan menyamar sebagai polis.
Malah, ketika disoal, suspek sekali lagi memberitahu dia adalah anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Suspek Orang Awam
Melalui pemeriksaan dokumen kita mendapati suspek adalah orang awam dan isterinya menjalankan perniagaan tempahan kek.
Suspek ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan direman di Mahkamah Kuching semalam.
Sumber: Friends Of PDRM