Sekitar pukul 11 pagi sehingga pukul 2 petang, 20 April 2023, orang ramai dapat menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Separa sempena dengan fenomena Gerhana Matahari Hibrid yang berlaku.
Gerhana Matahari Hibrid merupakan fenomena yang jarang berlaku. Fenomena ini dianggarkan berlaku sekali dalam setiap dekad. Gerhana Matahari Hibrid hanya berlaku 7 kali pada abad ke-21, iaitu pada tahun 2013, 2023, 2031, 2049, 2050 dan 2067. Ia dipanggil ‘hibrid’ kerana melibatkan ketiga-tiga kawasan bayang-bayang Bulan iaitu umbra, penumbra dan antumbra yang menggabungkan ketiga-tiga jenis gerhana matahari iaitu, Gerhana Matahari Penuh, Gerhana Matahari Anulus dan Gerhana Matahari Separa sepanjang laluan tengah gerhana.
Jenis gerhana yang kita dapat lihat adalah bergantung kepada lokasi pemerhati di sepanjang laluan gerhana tersebut (bahagian bayang Bulan yang kita berada). Oleh itu, di Malaysia, orang ramai hanya dapat melihat Gerhana Matahari Separa disebabkan bukan berada pada laluan untuk Gerhana Matahari Hibrid.
Menurut pihak MOSTI, Program Pencerapan Gerhana Matahari Separa 2023 akan diadakan di Planetarium Negara Kuala Lumpur dan di Bandar Tawau, Sabah. Orang awam adalah dinasihatkan untuk menggunakan penuras khas bagi menyaksikan fenomena Gerhana Matahari. Melihat terus ke arah Matahari tanpa mengunakan sebarang penuras yang sesuai adalah dilarang kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan kerosakan mata atau mengakibatkan buta kekal.
Dan tidak dilupakan juga, bagi mereka yang beragama Islam disaran melakukan solat sunat gerhana sempena fenomena gerhana matahari separa yang dijangka berlaku, Khamis ini. Antara hikmah dan kebaikan disunatkan mendirikan solat sunat gerhana ialah menginsafi kekuasaan ALLAH SWT terhadap penciptaan alam agar sentiasa bersyukur di atas nikmat yang diberikan, selain memohon keampunan terhadap segala dosa yang dilakukan sama ada sengaja atau tidak.
Untuk rekod, kali terakhir fenomena tersebut berlaku di Malaysia ialah pada 21 Jun 2020 ketika umat Islam sedang meraikan lebaran pada 29 Syawal 1441 Hijrah