Tanda & gejala penyakit batuk kokol (Pertussis)

Pertussis atau batuk kokol (whooping cough) adalah jangkitan bakteria akut melibatkan saluran pernafasan. Jangkitan Pertussis melibatkan sekurang-kurangnya 20 juta kes di seluruh dunia. Anggaran 90% daripada kes tersebut berlaku di negara membangun dengan 200,000 hingga 300,000 kematian setiap tahun.

Penyebab Batuk Kokol

Agen penyebab batuk kokol ini dikenali sebagai Bordetella pertussis.

Cara Jangkitan 

Cara jangkitan penyaki biasanya melalui udara daripada pernafasan orang yang dijangkiti.

Boleh Menjangkiti Semua Orang Terutama Bayi

Tempoh pengeraman lazimnya antara 9 hingga 10 hari dengan julat antara 6 hingga 20 hari.

Pertussis boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia. Namun, bayi merupakan golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Tanda dan gejala

Bermula dengan batuk gatal dan lama kelamaan menjadi batuk berulang (paroxysmal), biasanya dalam tempoh 1 hingga 2 minggu dan berlarutan sehingga 1 hingga 2 bulan atau lebih. Tanda paroxysms adalah batuk berulang yang berterusan dan teruk. Setiap siri paroxysms boleh menyebabkan pesakit menjadi kebiruan (cyanosis) kerana tidak sempat bernafas.

Kahak batuk selalunya berwarna jernih. Batuk juga boleh disusuli oleh muntah.

Seseorang yang dijangkiti bakteria Pertussis boleh menularkan jangkitan kepada orang lain dalam tempoh dua minggu pertama gejala batuk bermula.

Komplikasi

Pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) dan kematian boleh berlaku.Kekurangan zat, hilang berat badan merupakan komplikasi akibat muntah yang berulang.

Sawan juga boleh berlaku akibat kekurangan bekalan oksigen ke otak berikutan batuk yang berterusan tanpa sempat bernafas.

Rawatan

Seseorang yang mengalami gejala perlu mendapatkan rawatan. Rawatan khusus termasuk antibiotik seperti Erythromycin, Clarithromycin atau Azithromycin untuk memendekkan tempoh jangkitan.

Pencegahan

Pelalian merupakan cara pencegahan yang berkesan dan selamat. Pelalian menggunakan vaksin Pertussis. Sekurang-kurangnya 3 dos dan diberikan secara suntikan. Di Malaysia, pelalian diberikan kepada bayi sebanyak 4 dos mengikut Jadual Program Imunisasi Kebangsaan.

Pelalian diberi pada umur 2, 3 dan 5 bulan serta dos tambahan (booster) pada umur 18 bulan.

Seseorang yang mempunyai gejala batuk perlu mengamalkan adab batuk (menutup mulut ketika batuk) dan mencuci tangan selepas batuk bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain. Seseorang yang bergejala juga dinasihatkan supaya tidak mencium bayi memandangkan bayi berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Pertussis.

Sumber: Fb Sektor Promosi Kesihatan JKNSabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *