Alangkah Baiknya Kalau Baru – Ustaz Abdul Manap Lakariba

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dalam artikel ini, saya ingin berkongsi dengan anda tausiah yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Negeri Sabah, Datuk Ustaz Haji Abdul Manap bin Lakariba bersempena dengan Ceramah Khas Kuliah Maghrib yang berlangsung di Masjid Al Kauthar pada 14 Jun 2023. Tausiah yang disampaikan adalah mengenai pentingnya taubat selagi masih diberi kekuatan oleh Allah SWT.

Beliau bercerita tentang kisah seorang sahabat Nabi SAW yang ingin meninggal dunia dan menyampaikan 3 potong ayat kepada isterinya iaitu alangkah baiknya kalau banyak, alangkah baiknya kalau baru dan alangkah baiknya jika sempurna. Apa yang dimaksudkan dengan tiga ayat ini? Jom sama-sama kita rungkaikan.  

  1. Alangkah baiknya kalau banyak. Banyak-banyaklah beramal soleh dan bersedekah sebelum ajal menjemput. Ini kerana pahala amal soleh dan sedekah akan menjadi peneman kita di akhirat nanti. Salah satu contoh amal soleh yang sangat besar pahalanya ialah membawa orang ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Jika pada masa sihatnya dia banyak bawa orang ke masjid, pasti banyak pahala yang dia dapat. 

 

  1. Alangkah baiknya kalau baru. Berilah pakaian baru kepada orang miskin dan fakir. Ini kerana memberi pakaian baru kepada orang yang memerlukan adalah salah satu bentuk kebaikan dan kemurahan hati yang sangat disukai oleh Allah SWT. Jika pada masa sihatnya, dia memberikan pakaian-pakaian baharu kepada orang lain, pasti banyak pahala yang dibawanya apabila mati kelak. 

 

  1. Alangkah baiknya kalau sempurna. Diceritakan tentang seorang yang sedang makan epal, lalu ada sahabat datang berkunjung ke rumahnya, lalu diberikan makan sahabat tersebut dengan epal yang telah digigitnya. Setelah difikirkan kembali, jika kita hendak memberi buah epal kepada seseorang, janganlah kita memberi buah epal yang sudah digigit atau busuk, tetapi berilah buah epal yang baru dan segar. Dengan memberinya epal yang sempurna pasti mendatangkan lebih banyak pahala dikemudian hari.
Ustaz Abdul Manap menerima cenderahati daripada pihak Masjid Al Kauthar Tawau
Ustaz Abdul Manap menerima cenderahati daripada pihak Masjid Al Kauthar Tawau

Dengan memikirkan kembali kepada keadaan-keadaan tersebut, sahabat berasa kecewa dan menyesal dengan segala perbuatannya dan memohon keampunan kepada Allah swt. 

Demikianlah tausiah Timbalan Mufti Negeri Sabah yang saya ingin kongsikan dengan anda. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada kisah sahabat Nabi SAW ini dan berusaha untuk meningkatkan amalan kita selagi masih ada kesempatan. Semoga Allah SWT menerima taubat kita dan mengampuni dosa-dosa kita. Amin.

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *