Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, memberi petanda bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 mungkin akan dijalankan lebih awal daripada yang dijadualkan. Beliau berkata, walaupun kerajaan negeri sekarang mempunyai tempoh sehingga Oktober 2025, beliau tidak menafikan kemungkinan PRN diadakan lebih awal.
“Tempoh kerajaan sekarang boleh diawalkan. Oleh itu, kita perlu bersiap sedia dari sekarang untuk menghadapi PRN,” ujarnya kepada wartawan. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan dasar di Persidangan Agung Tahunan (PAT) Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat). Beliau juga menasihati cawangan dan bahagian parti itu untuk memperkuatkan jentera mereka. Hal ini dilakukan untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Sabah yang berlangsung lebih awal. Beliau menegaskan bahawa kepemimpinan parti tidak boleh bersikap leka. Selain itu, kepimpinan juga perlu mengelakkan sebarang perpecahan dalam perjuangan mereka untuk rakyat dan negeri.
Baca juga : Selangkah Ke Menara Gading
“Kita perlu belajar daripada pengalaman pahit yang berlaku pada awal tahun ini. Apabila kerajaan yang kita tubuhkan secara sah dengan mandat dan kehendak rakyat digugat, malah cuba dirobohkan dengan cara yang sangat tidak beretika,” katanya. Persidangan ini merupakan Persidangan Agung Tahunan yang pertama Gagasan Rakyat selepas kepimpinan Hajiji mengambil alih pada Februari lalu. Persidangan ini turut disertai oleh empat orang bekas Ketua Menteri Sabah. Antara yang hadir iaitu Tan Sri Musa Aman, Tan Sri Osu Sukam, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Yong Teck Lee. Hajiji menganggap kehadiran mereka sebagai satu sokongan moral kepada kerajaan yang dipimpinnya demi masa depan dan kemajuan Sabah.
Sumber : Berita Harian
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini