Kuala Lumpur : Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, program yang bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme, kesedaran negara dan integrasi nasional di kalangan belia, dijangka berjalan pada tahun 2025. Semua aspek yang berkaitan perlu diberi perhatian dan diteliti. Ini diumumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan. Beliau menyatakan bahawa program tersebut tidak dapat dimulakan pada tahun depan kerana tiada peruntukan kewangan dalam Belanjawan 2024.
Beliau juga menambah bahawa Kementerian Pertahanan perlu memperbaiki kemudahan dan infrastruktur. Kerja-kerja penambahabaikan perlu dilakukan termasuk 13 Kem Wataniah yang akan digunakan sebagai tempat latihan PLKN. “Kita perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk NGO dan masyarakat, untuk merangka mekanisme pelaksanaan PLKN yang sesuai dan berkesan.
Baca Juga : Solidariti Palestin Perlu Beretika
Program ini juga perlu mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri sebelum kita dapat melaksanakannya ” katanya ketika membentangkan RUU Perbekalan bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat hari ini. PLKN 3.0 akan melibatkan dua fasa, iaitu Fasa Satu untuk pelajar Tingkatan Empat yang akan menjalani latihan kokurikulum di bawah Kementerian Pendidikan. Manakala, Fasa Dua untuk pelajar Tingkatan Lima yang akan menjalani latihan tentera di Kem Wataniah selepas menamatkan SPM. PLKN 3.0 merupakan program yang diperkenalkan semula oleh kerajaan selepas dimansuhkan pada tahun 2018.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini