Tawau – SMK Kinabutan 2 Tawau, sebuah institusi pendidikan yang telah beroperasi selama lima hingga enam tahun lalu, sedang menjalani transformasi besar. Sekolah ini telah mencadangkan untuk menggunakan nama baharu yang akan memberikan pengiktirafan dan penghargaan buat tokoh pemimpin tempatan yang pernah berjasa di Daerah Tawau sebelum ini. SMK Kinabutan 2 Tawau bakal menggunakan nama SMK Datuk Tawfiq. Cadangan ini sedang diproses oleh pihak yang terlibat.
YB Datuk Nizam, ADUN APAS, mewakili keluarga Almarhum Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berbesar hati menerima baik cadangan penukaran nama sekolah ini. Baginya, ini adalah pengiktirafan yang sangat berharga daripada warga pendidikan Tawau. Pengiktirafan ini untuk menghargai jasa serta sumbangan besar Almarhum Datuk Tawfiq dalam memajukan bidang pendidikan di daerah ini.
Cadangan penukaran nama ini sedang melalui proses cadangan daripada pihak sekolah kepada pengurusan yang terlibat. Proses ini melibatkan beberapa jabatan seperti Jabatan Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri, sebelum dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan. Meskipun sedikit masa diperlukan, proses ini sedang berjalan dengan baik. Diharapkan cadangan ini dapat diterima oleh pihak yang terlibat sebagai menghargai tokoh pemimpin masyarakat di Tawau. Perkara ini diumumkan oleh YB Datuk Nizam dalam ucapan perasmiannya pada Majlis Anugerah Kecemerlangan hari ini.
Baca Juga : Meraikan Usahawahan Di Pantai Timur
YB Datuk Nizam ditemui ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan dan penutupan Karnival Kokurikulum peringkat sekolah tahun 2023 di Dewan Mini SMK Kinabutan 2 Tawau.
Karnival Kokurikulum yang berlangsung dari 8 hingga 10 Disember. Program ini telah mengadakan pelbagai aktiviti meriah seperti perkhemahan, sukan, jualan, pertandingan, dan pelbagai lagi aktiviti menarik. Majlis ini bertujuan untuk menggalakkan pencapaian kecemerlangan bukan hanya dalam bidang akademik, tetapi juga dalam bidang kokurikulum.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini