TAWAU – Akademi Bola Sepak Tawaukini (ABSTK) menjadi saksi kepada satu detik bersejarah apabila penjaga gol Sabah FC, Ramzi Mustakim, membuat lawatan inspirasi ke akademi pada Ahad lalu. Tujuan lawatan ini adalah memberikan motivasi dan perkongsian pengalaman kepada pelatih-pelatih di ABSTK.
Ramzi membuka tirai cerita beliau, menggambarkan perjalanan unik dari bangku sekolah menengah hingga menjadi pemain dalam skuad utama Sabah FC. Beliau menegaskan bahawa disiplin adalah kunci utama yang membukakan pintu ke dunia kejayaan sebagai pemain bola sepak profesional.
“Disiplin bukan hanya tentang latihan di padang. Ia mencakup segala-galanya, dari pemakanan hingga kesihatan. Seorang pemain yang disiplin mampu menjalani latihan dengan penuh fokus dan mengawal diri dengan baik di luar padang,” Ramzi berkongsi dengan penuh semangat.
Ditanya mengenai pengalamannya bermain dengan Sabah FC, Ramzi mengakui kegembiraannya dapat bermain bersama pemain-pemain yang telah memperjuangkan nama negara. “Bermain bersama pemain seperti Khairul Fahmi Che Mat, Badrol Bakhtiar dan Amri Yahya adalah pengalaman yang tidak ternilai. Saya belajar banyak dari mereka dan ini adalah sesuatu yang tidak akan saya lupakan,” tambahnya.
Baca Juga : Cungkil Bakat Melalu Sukan Futsal
Ramzi, yang merupakan anak jati Tawau, baru-baru ini memperbaharui kontraknya bersama Sabah FC. Keputusan ini memberikan semangat tambahan kepada pelatih-pelatih di ABSTK untuk terus berusaha dan berlatih keras.
Rahman Imuda, Pengarah ABSTK, menyambut baik lawatan Ramzi dan berkata, “Kami berterima kasih kepada Ramzi kerana berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada anak-anak muda di ABSTK. Kami harap beliau terus mencapai lebih banyak kejayaan bersama Sabah FC. Semoga terus menjadi inspirasi kepada anak muda di Tawau dan di Sabah dalam bidang bola sepak.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini