KOTA KINABALU – Sebuah pencapaian gemilang telah dicatatkan oleh dua pendaki bersemangat, Florensia Grace Gainus dan Shartner Liew, dari Kiulu, Sabah. Mereka telah memeriahkan sejarah dengan menakluki puncak Mera di pegunungan Himalaya, Nepal, baru-baru ini.
Dalam usaha mereka, kedua-dua peneroka ini didampingi oleh rakan setia mereka, Jaistin Paul Tamin, yang menjadi ketua rombongan. Perjalanan mencabar mereka bermula pada 17 Disember lalu. Kemudian pada pagi 25 Disember mereka sampai ke puncak tertinggi, Mera.
Kejayaan tiga pendaki Sabah ini amat membanggakan sebagai kumpulan pertama dari Pulau Borneo yang berjaya menggapai puncak Mera di Nepal. Puncak ini mencapai ketinggian 6,479 meter. Pengalaman luar biasa ini turut dihiasi dengan sambutan Krismas di puncak yang megah namun berada pada ketinggian yang mencabar.
Kejayaan ini adalah hadiah yang amat berharga
Selain Puncak Mera, kawasan Pegunungan Himalaya turut menjadi tempat bagi Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia dengan ketinggian mencapai 8,849 meter atau setinggi 29,032 kaki.
Florensia, yang menyambut hari lahirnya pada 25 Disember semasa mendaki, berkongsi bahawa kejayaan ini adalah hadiah yang amat berharga dan akan kekal sebagai satu memorabilia yang tidak dapat dilupakan. “Kami selamat sampai ke puncak Gunung Mera. Pendakian amat mencabar berbanding dengan Gunung Kinabalu, tetapi saya sentiasa mengingatkan diri untuk terus berusaha dan tidak berputus asa. Dengan semangat yang kukuh, kami akhirnya berjaya mencapai puncak Mera,” katanya dengan penuh semangat semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) semalam.
Florensia mengungkapkan ketika mendaki, ibunya, Agnes Timah Dusip, sangat risau, namun perasaan risau itu berubah menjadi lega apabila mereka selamat turun ke kawasan base camp dan dapat berhubung dengan ibunya melalui aplikasi Whatshap.
Mencapai impian untuk menakluki puncak Mera
Sementara itu, Shartner turut merasai kegembiraan setelah berjaya mencapai impian untuk menakluki puncak Mera. “Sebelum ini, banyak kisah yang saya baca mengenai nasib pendaki yang tidak berjaya sampai ke puncak Mera atau malangnya, menghadapi maut semasa dalam perjalanan, tetapi semua ini tidak mematahkan semangat kami untuk terus berjuang. Selepas satu hari melakukan pendakian dari base camp, keazaman saya untuk mencapai puncak semakin kukuh. Saya bersyukur kerana kesihatan saya yang baik telah memudahkan perjalanan mendaki gunung Mera,” katanya dengan rasa syukur yang mendalam.
Baca Juga : Cungkil Bakat Melalu Sukan Futsal
Gunung Mera Peak adalah antara gunung yang sangat terkenal
Pada pihaknya, Jaistin dari Membakut menyatakan perasaan syukur kerana berjaya menakluki puncak gunung yang menempuh pelbagai cabaran dan rintangan. “Gunung Mera Peak adalah antara gunung yang sangat terkenal dalam kalangan pendaki di seluruh dunia kerana cuaca yang sangat ekstrem dan cabaran bentuk muka bumi yang sukar. Seperti pepatah yang mengatakan, di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan,” katanya sambil tersenyum.
Penghargaan dirakam dengan penyampaian sijil kejayaan mendaki gunung Mera telah diberikan kepada ketiga-tiga pendaki Sabah ini oleh Nepal Mountaineering Association (NMA) dan Everest Trekking Routes Pvt Ltd.
Sumber : Utusan Borneo
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini