Cubaan Penyeludupan Di Felda Sahabat Gagal

felda sahabat

LAHAD DATU – Zon Maritim Lahad Datu telah berjaya menahan sebuah bot pam berwarna biru tanpa nombor pendaftaran. Penahanan berlaku di Selatan Kampung Tandu, Felda Sahabat, Lahad Datu pada pagi tadi. Bot tersebut dikendalikan oleh seorang kru berumur 29 tahun dan dikesan oleh bot peronda Maritim Malaysia kira-kira pukul 2.26 pagi tadi.

Menurut Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna binti Razali Chin, pemeriksaan terhadap bot tersebut menunjukkan kesalahan di bawah beberapa undang-undang. Antaranya termasuklah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Padi dan Beras 1994, Akta Kastam 1967, dan Akta Imigresen 1959/63. Bot tersebut tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa.

Dalam pemeriksaan tersebut, didapati bahawa bot tersebut membawa 340 kilogram minyak masak pelbagai jenama dan 40 kilogram beras yang disyaki akan dijual di negara jiran. Selain itu, turut dirampas adalah sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dan dua buah enjin pam. Anggaran nilai keseluruhan rampasan adalah hampir lapan ribu ringgit.

Baca Juga : Dun Kukusan Perlu Projek PPR

Dr. Suzanna juga menyatakan bahawa kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi dijangka akan meningkat semasa bulan Ramadan dan Syawal disebabkan permintaan yang lebih tinggi. Oleh itu, pihak Zon Maritim Lahad Datu akan meningkatkan rondaan dan pemeriksaan ke atas bot.  Terutamanya di lokasi titik panas di perairan ini, bagi memastikan kegiatan berkenaan dapat dibendung.

Zon Maritim Lahad Datu menggesa masyarakat, khususnya komuniti maritim di kawasan Lahad Datu, untuk terus memberikan kerjasama. Dengan melaporkan sebarang maklumat berkaitan salah laku atau kegiatan jenayah di laut kepada Maritim Malaysia melalui talian 089-885727 (Pusat Operasi Lahad Datu) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Sumber : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *