ABU DHABI – Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini menjadi saksi kepada peristiwa cuaca yang bersejarah apabila negara itu dilanda hujan lebat terbesar yang pernah direkodkan dalam tempoh 24 jam.
Laporan dari Agensi Berita Emirates (WAM) menunjukkan bahawa hujan yang luar biasa ini telah melepasi rekod sebelumnya yang telah dicatat sejak 1949, apabila data cuaca mula dikumpulkan.
Pusat Meteorologi Kebangsaan UAE telah mengesahkan bahawa hujan yang melanda negara itu pada tempoh 24 jam sehingga 9 malam pada hari Selasa, 16 April, adalah sesuatu yang luar biasa dalam sejarah cuaca UAE sejak mula dilakukan rekod iklim.
Dijangkakan bahawa jumlah hujan akan terus meningkat dalam beberapa jam akan datang.
Menurut laporan dari pusat itu, hujan terhebat yang telah direkodkan berlaku di kawasan “Khatm Al Shakla” di Al Ain, di mana jumlah hujan mencapai 254 mm dalam masa kurang dari 24 jam.
Kejadian hujan lebat ini adalah sesuatu yang jarang berlaku di UAE. Kejadian ini memberikan sumbangan yang signifikan kepada peningkatan jumlah hujan tahunan serta memperkukuhkan rizab air bawah tanah negara secara keseluruhan.
Baca Juga : Kerjasama PBS-STAR Bakal Jadi Realiti
Dalam satu perkembangan yang lain, laluan penerbangan ke Dubai terpaksa dilencongkan buat sementara waktu. Hal ini berikutan hujan lebat yang melanda negara Teluk itu, menyebabkan banjir kilat. Beberapa negeri mencatatkan kadar hujan hampir setahun dalam sehari.
Bagaimanapun, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penerbangan masuk yang tiba semalam sudah dilencongkan. Lencongan ini dilakukan”disebabkan cuaca luar biasa sedang dialami di Emiriah Arab Bersatu (UAE).”
Meskipun begitu, operasi di bahagian pelepasan masih diteruskan, katanya. Penerbangan kemudian diteruskan semula selepas gangguan kira-kira dua jam.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini