TAWAU – Institut Pendidikan Guru (IPG) Tawau telah menjalankan tugas dengan jayanya menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Tenis Piala Pengarah IPG Zon Sabah dan Sarawak. Ini adalah kali pertama kejohanan ini diadakan di Tawau. Inisiatif ini merupakan langkah yang sangat baik. Terutama dalam merapatkan silaturahim antara staf dan kakitangan IPG yang berada di Sabah dan Sarawak.
Sebanyak 8 IPG, terdiri daripada 4 IPG dari Sabah dan 4 IPG dari Sarawak, telah mengambil bahagian dalam kejohanan ini. Melalui kejohanan ini, semangat kesatuan dapat ditanam di kalangan peserta. Selain itu, program ini juga dapat memperkasakan institut ini dalam usaha melahirkan lebih ramai guru berbakat di masa hadapan.
Kejohanan ini dihadiri dan dirasmikan oleh Pembantu kepada Ketua Menteri Sabah dan ADUN Apas, YB Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang berlangsung di IPGM Tawau. Kehadiran beliau memberi semangat dan dorongan kepada semua peserta serta menunjukkan sokongan penuh kerajaan negeri terhadap inisiatif seperti ini.
Baca Juga : Kerjasama PBS-STAR Bakal Jadi Realiti
Nizam ketika ditemui media berkata, “Melalui kejohanan ini, kita berharap dapat mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang tenis yang tersembunyi di kalangan staf dan kakitangan”.
Tambahnya lagi, “Ini selaras dengan hasrat Kementerian Belia dan Sukan yang pastinya komited untuk menambahbaik fasiliti sukan di Tawau. Hal ini demi memupuk semangat kesukanan dan mempertingkatkan pencapaian atlet tempatan.”
Tahniah Atas Penganjuran
Dengan IPG Tawau menjadi tuan rumah untuk kejohanan ini, ia juga membuka peluang untuk bandar Tawau menjadi tuan rumah bagi acara sukan lain di masa hadapan, termasuk sukan Sabah. Kejohanan ini adalah satu langkah awal yang menunjukkan bahawa Tawau berpotensi menjadi pusat kecemerlangan sukan di negeri ini.
Semoga kejohanan tenis ini dapat dijadikan acara tahunan yang dinanti-nantikan. Sekaligus mengeratkan lagi hubungan antara IPG di Sabah dan Sarawak serta meningkatkan mutu sukan di kalangan kakitangan pendidikan.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini