KOTA KINABALU – Rancangan penempatan komuniti Palauh atau Bajau Laut yang dirobohkan di Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) sebelum ini akan menjadi tumpuan utama dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri. Mesyuarat ini bakal diadakan tidak lama lagi.
Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah, menyatakan kebimbangan kerajaan negeri terhadap perkara tersebut.
“Kita sangat prihatin dengan isu ini. Kita tidak kurang berempati. Malahan kita memahami bahawa mereka juga manusia, tetapi kawasan di mana mereka mendirikan struktur itu adalah dalam Taman Marin.”
“Pasukan keselamatan telah menyuarakan kebimbangan mereka dan menasihatkan bahawa ini adalah kawasan sensitif keselamatan yang boleh digunakan sebagai titik transit untuk jenayah rentas sempadan.”
“Kita akan membincangkan pelbagai kaedah ke hadapan, termasuklah penempatan semula orang-orang Pala’u,” katanya semasa lawatan kerjanya ke Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri di Wisma Tun Fuad Stephens, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Lew menjelaskan operasi pengedaran notis pengosongan dilaksanakan. Notis ini bermula 2 hingga 4 Mei lalu membabitkan 273 rumah penempatan tanpa izin yang dibina di dalam TMTS. Seterusnya, kerja-kerja meroboh serta pengosongan penempatan tanpa izin ini dilaksanakan bermula pada 4 hingga 6 Jun.
Baca Juga : Parti Kelapan Di Dalam Gabungan Rakyat Sabah
Berhijrah Ke Pulau Lain
Menerusi laporan Sinar Harian, Komuniti Bajau Laut atau Palauh yang rumah mereka dirobohkan di kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) di Semporna, kini difahamkan telah berhijrah ke pulau atau ke kampung lain untuk berteduh.
Bagaimanapun, masih ada sebahagiannya yang kekal menetap di kawasan itu. Walaupun keadaan rumah sudah tidak sempurna selepas dirobohkan oleh pihak berkuasa dalam operasi yang dilaksanakan selama dua hari pada minggu lalu.
Aktivis Borneo Komrad, Mukmin Natang berkata, dianggarkan terdapat 1,000 komuniti tersebut yang berada di sekitar kepulauan di Semporna.
“Sekarang ini kebanyakkan komuniti Bajau Laut ke pulau-pulau sekitar untuk menumpang berteduh. Ada juga yang pergi ke kampung-kampung lain di sekitar pekan selain ada yang terpaksa merempat di Pekan Semporna.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini