TAWAU – Budaya pantun dikalangan orang muda perlu sentiasa disuburkan agar tidak dilupa dek zaman. Sekolah Kebangsaan Bandar 2 Tawau telah menganjurkan acara yang menggamit minat ramai, iaitu Pesta Pertandingan Pantun Peringkat Daerah Tawau. Acara ini tidak hanya memperingati warisan kebudayaan Melayu yang kaya, tetapi juga menggalakkan generasi muda untuk menghargai dan menyertai seni pantun sebagai alat komunikasi yang lembut dan berkesan.
YB Rina Hj Jainal, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah dan ADUN Kukusan, menyambut baik inisiatif ini. Beliau menegaskan pentingnya menyokong program seperti ini sebagai langkah untuk memartabatkan budaya Melayu yang terkenal dengan kesantunan dan kelembutan dalam berinteraksi di masyarakat.
Rina (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada penganjur pertandingan
Dalam sokongan yang jelas terhadap program ini, YB Rina turut menyumbangkan RM3,000 kepada pihak penganjur sebagai tanda sokongan yang nyata. Menurut beliau, inisiatif seperti Pesta Pertandingan Pantun Peringkat Daerah Tawau ini tidak hanya memupuk semangat kebangsaan tetapi juga menggalakkan interaksi budaya di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah di daerah Tawau.
Menurut YB Rina, pantun bukan hanya sekadar warisan budaya, tetapi juga merupakan pendekatan yang lembut dalam menyampaikan mesej dan kenyataan. Dalam era moden yang serba cepat ini, inovasi dalam penyampaian budaya pantun perlu diterapkan untuk memastikan ia relevan dan diterima oleh generasi muda. Hal ini akan membantu membentuk anak-anak muda yang lebih kreatif dan peka terhadap warisan budaya mereka.
Rina ketika ditemubual oleh media
Pertandingan ini melibatkan tujuh sekolah rendah di kawasan tersebut dan dijangka berlangsung selama dua hari. Dengan sokongan aktif dari pemimpin tempatan, harapan untuk memartabatkan dan menghidupkan semula budaya pantun di Tawau semakin mendapat dorongan positif. Program seperti Pesta Pertandingan Pantun tidak hanya merapatkan jurang generasi, tetapi juga memperkukuh identiti kebudayaan yang kaya di rantau ini.
Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini