Coretan HAWANA 2024 di Kuching, Sarawak

Menaiki kenderaan ke Atrium Merdeka Mall untuk menghadiri pameran serta Majlis Perasmian Hari Wartawan Nasional 2024 (HAWANA). Pemandangan sepanjang perjalanan amat mengagumkan dengan seni bina dan rekaan bangunan di sekitar Kuching, Sarawak. Sebelum memulakan perjalanan ke Atrium Mall, daftar masuk ke Hotel Riverside Majestic, hotel yang penuh dengan hospitaliti kelas pertama.

HAWANA kali ini disambut di Kuching, Sarawak. Seorang wakil pengamal media Tawaukini telah dijemput untuk menghadiri HAWANA buat kali pertama. Ini merupakan kali kedua penulis menjejakkan kaki ke Kuching, begitu banyak sekali perubahan yang dilihat. Kali pertama mengunjungi Kuching adalah sekitar 12 ke 14 tahun yang lalu. Bangunan dan jalanraya pesat membangun.

sarawak
Pemandangan disekitar Waterfront

Penerbangan Ke Kuching

Sehari sebelum tiba di Kuching, penulis telah memulakan perjalanan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Tawau (LTAT) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LPAKK). Penerbangan ini mengambil masa lebih kurang 45 minit. Seterusnya penerbangan diteruskan daripada LPAKK ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang mengambil masa lebih kurang sejam 30 minit. Semua penerbangan daripada Tawau ke Kuching akan menggunakan penerbangan singgah di LPAKK. Hal ini kerana, tidak terdapat penerbangan terus ke Kuching daripada Tawau.

Tiba di Atrium Mall, orang ramai mula mengunjungi setiap reruai yang disediakan pada penganjuran kali ini. Terdapat lebih daripada 20 reruai dibuka bagi tontonan orang awam. Pengunjung yang hadir berasa teruja dapat melihat sejarah dan perkembangan media di Sarawak bermula dengan surat khabar, radio sehinggalah media atas talian.

sarawak
Keadaan Atrium Mall dengan Pameran HAWANA yang berlangsung

Pelbagai Reruai Pameran Untuk Tontonan

Reruai Unit Komunikasi Awam Swasta dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia antara yang menjadi tumpuan pada pameran kali ini. Peluang untuk menjadi pembaca berita dan penyampai radio dibuka kepada orang awam untuk merasakan sendiri pengalaman tersebut. Daripada anak kecil sehingga golongan tua turut serta dengan peluang yang diberikan.

Majlis Perasmian berlangsung dengan kehadiran Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil. Setelah itu, Fahmi melawat reruai yang disediakan dan melakukan pelbagai gimik perasmian disetiap reruai seperti mengetuk gong, merakam suara dan lain-lain aktiviti.

Sarawak
Yb Fahmi Fadzil merakam kenangan di reruai

Persidangan Media Sarawak

Keesokan harinya, Persidangan Media Sarawak telahpun bermula. Para pengamal media dan pelajar jurusan komunikasi daripada institusi pengajian tinggi disekitar Kuching juga turut diundang pada persidangan kali ini. Pelbagai topik telah dibincangkan terutama topik Kecerdasan Buatan ataupun Artificial Intelligence (AI) dalam bidang kewartawanan.

Persidangan kali ini menampilkan barisan penceramah di dalam dan luar negara untuk mengulas topik berkaitan Kecerdasan Buatan. Pada persidangan ini, peserta dapat melihat kebaikan dan keburukan serta impak AI terhadap dunia kewartawanan. Persidangan kali ini dirasmikan oleh Primier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg.

Sarawak
Majlis Perasmian Persidangan Media Sarawak

Sesi ‘Juh Raon’

Pada sebelah petang, satu sesi lawatan atau dikenali dengan nama ‘Juh Raon’ untuk masyarakat tempatan. Lawatan merangkumi beberapa lokasi menarik di Kuching antaranya Borneo Cultures Museum, Jambatan Darul Hana dan English Tea House.

Borneo Cultures Museum menampilkan satu keunikan pada keluasan dan reka bentuk bangunan. Bangunan setinggi 5 tingkat ini mengumpulkan pelbagai jenis barangan bersejarah bagi Bumi Kenyalang ini. Bermula daripada pengumpulan jenis-jenis tembikar sehinggalah kain selendang yang dihasilkan dinegeri ini, semuanya tersimpan rapi di muzium yang serba lengkap ini.

Sarawak
Tiba di Borneo Cultures Museum

Lokasi Wajib Dikunjungi

Meneruskan perjalanan ke Jambatan Darul Hana, sebuah jambatan yang penuh kemegahan. Jambatan yang dikhaskan untuk pejalan kaki menghubungkan persisir sungai ke kawasan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN). Jambatan ini menampilkan reka bentuk khas yang menarik dan disertai dengan pemandangan yang indah.

Dengan jarak lebih kurang 300 meter, pejalan kaki akan merasai satu pengalaman perjalanan yang cukup menarik dan tenang. Ini antara lokasi yang wajib dikunjungi apabila menjejakkan kaki ke Kuching, Sarawak.

Sarawak
Jambatan Darul Hana yang tersergam indah

Makan Malam Bersama TYT Sarawak

Singgah sebentar di English Tea House, disajikan persembahan daripada pasukan PENTARAMA daripada Jabatan Penerangan Malaysia Bahagian Sarawak. Pelbagai persembahan menarik dipersembahkan menunjukkan seni dan budaya yang terdapat di Sarawak.

Malam pun tiba, Majlis Makan bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berlangsung di Hotel Pullman. Majlis makan malam yang mewah ini menyediakan pelbagai sajian makanan yang lazat dan persembahan yang memukau. Majlis ini untuk menghargai semua pengamal media yang hadir ke Kuching, Sarawak sempena dengan HAWANA kali ini.

Sarawak
Amir Jahari antara artis yang diundang ketika Majlis Makan Malam bersama TYT Sarawak

Kehadiran PMX di Majlis Penutupan HAWANA

Majlis kemuncak HAWANA berlangsung di Hotel Waterfront dihadiri lebih 1000 pengamal media di dalam dan luar negara. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba untuk merasmikan majlis penutupan HAWANA 2024. Sambutan diadakan dengan penuh keterujaan.

Dengan berakhirnya majlis kemuncak tersebut, maka berakhirlah sambutan HAWANA di Kuching, Sarawak kali ini. Penulis bergerak kembali ke Tawau setelah itu melalui penerbangan singgah di Kota Kinabalu.

Sarawak
Keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching

Syabas dan tahniah diucapkan buat semua yang terlibat pada penganjuran HAWANA kali ini. Pastinya ini antara penganjuran yang terbaik bagi HAWANA yang telah mulai disambut sejak diasaskan pada tahun 2018. Jutaan terima kasih keatas penganjur atas jemputan untuk Syarikat Tawaukini Media Solution (Tawaukini) dan penyediaan hospitaliti yang cukup lengkap sepanjang program ini berlangsung.

Ikuti perkembangan Daerah Tawau, Sabah melalui laman Facebook kami di Tawaukini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *